suria

Tidak Terburu-Buru Cari Pengganti Kim Her - Frost

Morten Frost Hansen

KUALA LUMPUR: Kekosongan jurulatih beregu campuran negara yang ditinggalkan Tan Kim Her akan tetap digantikan pengendali tempatan, kata Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen.

Frost menjelaskan dia lebih memilih pengendali tempatan untuk tugas itu kerana ia memudahkannya mewujudkan satu sistem yang stabil di kalangan jurulatih dalam skuad negara.

"Jika salah seorang daripada mereka meninggalkan BAM, ia pasti akan menjejaskan sistem sedia ada. Bagi saya, ketika ini adalah penting bagi kita mendapatkan satu sistem yang stabil.

"Jadi, dengan mendapatkan jurulatih tempatan ia akan memberi peluang yang lebih baik mewujudkan sistem seperti itu.

"Pada masa sama adalah penting untuk menambah pengetahuan jurulatih dengan menghantar mereka ke luar negara untuk latihan kejurulatihan," katanya kepada pemberita di Stadium Juara, Bukit Kiara, Isnin.

Bagaimanapun, Frost berkata BAM tidak terburu-buru mencari pengganti Kim Her yang meletakkan jawatannya semalam.

Kim Her yang juga bekas pemain beregu negara, akan menyertai Persatuan Badminton India dengan kontrak lima tahun.

Jurulatih berusia 44 tahun yang pernah mengendalikan skuad Korea Selatan dan England, dikatakan menerima tawaran sebanyak AS$7,500 (RM28,575) sebulan.

"Saya rasa Kim Her mengambil keputusan yang bijak, ia adalah baik untuknya.Ini adalah pasaran terbuka dan dia menerima tawaran yang baik. Saya menyokong 100 peratus dan semoga dia berjaya di sana.

"Pastinya kami akan mencari penggantinya, tapi tidak perlu terburu-buru. Saya perlu pastikan jurulatih yang diambil nanti akan memenuhi kriteria dan tentunya ia mengambil masa," katanya.

Buat sementara waktu, jurulatih sedia ada dalam skuad negara akan membantu mengendalikan pemain beregu campuran sehingga pengganti Kim Her diperolehi.

Tan Kim Her, Morten Frost Hansen, BAM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain