suria

Badminton Boleh Jadi Acara Kekal Olimpik - Bach

Bach (kanan) menunjukkan bakat bermain badminton kepada pemain badminton junior Malaysia ketika melawat Stadium Bukit Kiara pada Isnin.

KUALA LUMPUR: Populariti badminton boleh menjamin kedudukannya menjadi acara yang kekal dipertandingkan di Sukan Olimpik, kata Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach.

"BWF (Persekutuan Badminton Dunia) juga melakukan tugas cemerlang meningkatkan integriti sukan ini. Dan dari sudut ini, badminton berada pada kedudukan terbaik dalam program Sukan Olimpik.

"Kami melihat banyak usaha dibuat bagi meningkatkan integriti sukan ini," kata Bach kepada pemberita selepas meninjau projek pembangunan badminton di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini hpada Isnin.

Beliau diiringi Presiden BWF, Poul-Erik Hoyer dan setiausaha agungnya, Thomas Lund.

Ketibaan mereka disambut Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff, Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen dan pegawai kanan BAM yang lain.

Bach berkata dengan begitu ramai pemain muda yang muncul, ia adalah petanda sukan itu boleh menjadi acara kekal di Sukan Olimpik.

"Mereka (pemain muda) adalah masa depan Sukan Olimpik. Jadi, ia adalah sesuatu yang hebat untuk saya melihat bagaimana pemain muda dilatih dan menyaksikan keseronokan mereka menjalani latihan. Ini adalah masa depan badminton," katanya.

Dalam lawatan itu, Bach menghabiskan kira-kira setengah jam bersama pemain muda Malaysia serta bermain dengan salah seorang daripada mereka, Nur Syaza Roshidi, 14.

"Mereka adalah pemain Malaysia yang mengharap peluang beraksi di Sukan Olimpik Belia di Buenos Aires nanti serta Sukan Olimpik akan datang," kata Bach.

Mengenai persiapan untuk mesyuarat Lembaga Eksekutif IOC dan Persidangan ke-128 OIC, Bach berkata semuanya berjalan lancar.

"Kita boleh mengharapkan satu sesi yang berjaya. Kami seperti berada di tempat sendiri... bukan hanya mendapat layanan yang baik tetapi persiapan juga berjalan lancar," katanya

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain