suria

Hijrah Ke Liverpool, Benteke Jalani Pemeriksaan Kesihatan

Christian Benteke

LONDON: Doktor pasukan Liverpool, Andy Massey diterbangkan ke England bagi meneliti laporan perubatan Christian Benteke yang bakal menyertai pasukan itu pada musim baru.

Benteke dijadual menjalani pemeriksaan kesihatan di sini sebagai langkah melengkapkan perpindahan bernilai 32.5 juta pound (RM192.79 juta) ke Liverpool.

Ketika ini, Reds sedang memenuhi jadual jelajah pra musim di Australia dan Asia.

Ujian kesihatan Benteke mungkin berlanjutan dua hari dan jika semua berjalan lancar, dia akan menjadi sebahagian daripada skuad Liverpool kurang daripada 48 jam, selain menjadi pemain kedua termahal di dalam kelab tersebut.

Pemain berusia 24 tahun itu tidak akan mengikuti siri jelajah pra musim sebaliknya akan bersama rakan sepasukan, Phillipe Coutinho dan Roberto Firmino yang berada di Melwood untuk menjalani latihan selepas terlibat dengan Copa America.

Liverpool bersetuju dengan perjanjian yang ditetapkan bagi mendapatkan khidmat penyerang dari Aston Villa itu minggu lalu, selepas mencapai persetujuan ke atas klausa pelepasan yang terdapat dalam kontrak bintang Belgium tersebut.

Perincian mengenai perjanjian itu dibincangkan minggu lalu, selepas Ketua Pegawai Eksekutif Liverpool, Ian Ayre dan rakan sejawatnya dari Aston Villa, Tom Fox mencapai kata sepakat.

Benteke yang memiliki baki kontrak dua tahun bersama Villa berjaya menjaringkan 49 gol daripada 101 penampilan bersama kelab itu sejak menyertainya pada 2012. 


Liverpool, Christian Benteke

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain