suria

Mohd Hafifi Yakin Mampu Raih Tiket Ke Sukan Olimpik

Hafifi Mansor

KUALA LUMPUR: Atlet angkat berat negara, Mohd Hafifi Mansor berazam untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil tahun depan menerusi dua kejohanan penting tahun ini.

Bagi merealisasikan impiannya itu Mohd Hafifi, 25, perlu beraksi cemerlang dalam Kejohanan Asia di Phuket Thailand pada September dan Kejohanan Dunia Amerika Syarikat pada November.

Katanya, sebagai persiapan Mohd Hafifi dan jurulatihnya, Lukman dari Indonesia akan ke Australia bagi menjalani latihan selepas Aidilfitri ini.

"Jurulatih saya ini sangat berpengalaman, beliau pernah membawa ramai atlet angkat berat Indonesia ke Sukan Olimpik sebelum ini. Saya juga pernah berlatih bersama-sama atlet Olimpik Indonesia.

"Jika dilihat dari segi saiz badan, badan saya lebih besar daripada mereka, tetapi itu tidak menjamin seseorang atlet itu hebat. Dalam angkat berat, kami perlu tahu menggunakan teknik dalam setiap angkatan, pelbagai teknik yang saya belajar dengan jurulatih Lukman," katanya kepada Bernama.

Beliau perlu menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik dunia untuk layak secara merit ke Sukan Olimpik.

Selain daripada menjalani latihan, Mohd Hafifi turut berdisplin dalam pengambilan ubat-ubatan supaya tidak terjebak dalam pengambilan barang larangan yang akan menjejaskan persiapannya ke Sukan Olimpik.

Atlet berasal dari Kuala Terengganu itu merupakan pemenang pingat emas Sukan Komanwel dalam kategori 69kg di Glasgow, Scotland tahun lepas.-- Bernama


Artikel Lain