suria

Gerrard Ikut Langkah Beckham Sarung Jersi LA Galaxy

BEKAS kapten Liverpool, Steven Gerrard diperkenalkan kepada media secara rasmi sebagai pemain LA Galaxy di Los Angeles.

Gerrard mula berlatih bersama rakan sepasukan baharunya itu pada petang Selasa sebelum beredar untuk majlis pengenalan dan sidang media.

Pemain berusia 35 tahun itu berhijrah ke Amerika Syarikat selepas kontraknya bersama The Reds berakhir musim lalu.

Bekas pemain tengah skuad England ini mengakui hasratnya untuk beraksi dengan kelab ini disebabkan oleh David Beckham yang dianggap sebagai hero.

"David Beckham dan Landon Donovan telah menyumbangkan sesuatu yang baik untuk kelab ini. Jika boleh, saya mahu ikut jejak langkah mereka dan pastinya saya sangat  gembira.

"David adalah hero saya, saya bertuah pernah bermain dengannya. Dia seorang pemain luar biasa. Dan Beckham jugalah tempat saya bertanyakan pendapat dan nasihat sebelum membuat keputusan datang ke sini.

"Landon pula adalah 'musuh' di Everton sebelum datang ke kelab ini. Saya pasti akan bertembung dengannya di sini dan ia sesuatu yang baik.

"Dia adalah pemain legenda di sini. Saya ada melihat beberapa aksi Landon...dan aksi itulah  yang membuatkan saya mahu mengikut langkahnya," jelas Gerrard.

Gerrard berpindah ke Amerika bersama keluarganya minggu lalu di kawasan mewah Beverly Hills.

Dalam pada itu, Gerrard menjelaskan tidak ada apa-apa perbezaan dari segi latihan di antara LA Galaxy dan Liverpool kecuali keadaan cuaca.

"Ada padang, bola, bib, kon, dan pemain...semuanya sama bagi saya, malah ada pemain yang hebat di sini.

"Saya tiba di kelab yang lengkap, dan ingin menjadi juara," tambahnya.

Malah Gerrard juga berharap Galaxy akan terus mencatat kejayaan apabila dia mula menyarung jersi buat kali pertama.

Gerrrard dijangka membuat penampilan pertama pada 18 Julai ini bertemu San Jose Earthquakes di StarHub Center dan sudah pasti semua mata akan tertumpu kepada pemain dari Merseyside itu. 

Steven Gerrard, LA Galaxy

Artikel Lain