suria

Jurulatih PPBN Mahu Kongsi Pengalaman Jelajah Eropah

Skuad B-13 Tahun Negara ceria ketika tiba di KLIA selepas sebulan berada di Eropah.
KUALA  LUMPUR: Ilmu yang dikutip di Eropah bukan sahaja berguna kepada pemain-pemain Bawah 13 Tahun Negara yang sedang mengikuti Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), malah kepada semua jurulatih yang berada dalam program ini.


Tempoh sebulan berada di Eropah dalam misi Jelajah Eropah bermula 29 Mei lalu sedikit sebanyak telah memberi gambaran positif mengenai program akar umbi yang dilancarkan tahun lalu di bawah bimbingan Lim Teong Kim selaku Pengarah Teknikal PPBN.

Bakat-bakat muda yang berada dalam program jangka panjang ini dianggap sebagai aset penting masa depan sekaligus diharap mampu mengubah warna yang lebih ceria sukan bola sepak  tanah air.

Pengarah Kanan PPBN, Safirul Azli Abu Bakar mengakui banyak pengajaran yang boleh diambil daripada Jelajah Eropah ini.

“Pemain-pemain melakukan apa yang telah dipelajari dengan baik serta mengikut arahan.

"Selepas ini kami merancang untuk bertemu dengan akademi-akademi Liga Perdana Inggeris (EPL) serta merancang untuk ke Jepun, Korea dan Australia bagi perndedahan yang berbeza,” jelasnya yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)  bersama skuad pada Selasa.

Biarpun sekadar perlawanan persahabatan serta turut menyertai dua kejohanan di Eropah baru-baru ini, skuad B-13 tahun berjaya mengembalikan semangat peminat-peminat bola sepak negara yang sebelum ini agak kecewa dengan persembahan Harimau Malaya yang hambar.

Mereka berjaya mencatat 21 kemenangan daripada 24 perlawanan di sepanjang jelajah ini malah buat julung kalinya menjuarai Piala  Iber Costa Del Sol (Kategori Bawah 13 Tahun) di Sepanyol selepas menumpaskan Sporting CP dalam aksi akhir dengan jaringan 2-1.

Namun mereka tersekat dalam saingan suku akhir pada kejohanan Piala Iber Estoril di Portugal selepas tewas 4-0 kepada kelab PSG.

Sementara itu, salah seorang jurulatih yang mengikuti jelajah ini, Wan Rohaimi Wan Ismail mengakui ia pengalaman yang membuka mata.

Jelasnya kepada pengurusan PPBN mengenai pengalaman dan pengajaran yang diraih amat penting bagi dirinya selaku salah seorang pengajar pemain-pemain muda berbakat ini.

“Pemain di sini berada pada satu tahap yang berbeza, lebih-lebih lagi di Piala Iber Costa Del Sol dan Estoril.

“Sudah tentu tahap pemain mereka berada di hadapan kita, tetapi saya yakin kita sedang mengejar ke tahap mereka.

“Peluang melatih, dan mempersiapkan pasukan menentang pasukan-pasukan Eropah ini merupakan pengalaman yang sangat berharga, dan akan saya kongsikan bersama jurulatih-jurulatih negeri”, jelas Ketua Jurulatih Remaja Negeri Kelantan ini.

Wan Rohaimi antara salah seorang daripada 13 jurulatih lain yang terpilih ke Eropah bagi mengiringi Teong Kim dalam mencari pengalaman baharu di sana. 

PPBN, Jelajah Eropah

Artikel Lain