suria

T-Team Kekal Di Persada Liga Perdana

Pemain PKNS FC Pedro Henrique Cortes Olievera Gois (kiri) dihalang oleh ketua pasukan KL SPA Putrajaya FC, Mohamed Aslam pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Jumaat. Perlawanan berkesudahan dengan keputusan seri 0-0. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Wakil kelab Terengganu, T-Team terus mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu Liga Perdana selepas melakar kemenangan  5-0 ke atas Kuantan FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam Jumaat.

Kemenangan ketujuh berturut-turut itu membolehkan skuad 'The Titans' terus unggul di puncak liga dengan kutipan 23 mata selepas 10 perlawanan.

Lima gol T-Team dijaringkan oleh Ahmad Takhiyuddin Roslan pada minit ke-42, Mohd Norhakim Hassan (ke-55), Sadriddin Abdullaev (ke-62), Muhammad Safawi Rasid (ke-79) dan Azrul Hazran Amiluddin Baki pada minit ke-90.

Kedah terus merapatkan kedudukan dengan T-Team selepas menang tipis 2-1 ke atas DRB Hicom FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Skuad Helang Merah, bagaimanapun terpaksa menunggu pada minit ke-54 untuk memecah kebuntuan jaringan menerusi pemain gantian, Ahmad Shakir Mohd Ali sebelum pemain import baharu dari Brazil, Sandro Da Silva menggandakan kedudukan pada minit ke-67.

Pasukan DRB Hicom FC berjaya merapatkan defisit jaringan menerusi Mohd Fakhrullah Rosli pada minit ke-88.
Di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Baharu, pasukan Sabah melakar kejutan dengan mengalahkan skuad tuan rumah, Johor Darul Ta'zim II (JDT II) 4-2.

Skuad Harimau Selatan bermula cemerlang apabila menjaringkan dua gol menerusi Nicolas Delmonte pada minit ketujuh sebelum Shafiq Shaharuddin menggandakan kedudukan pada minit ke-21.

Pasukan Sabah, bagaimanapun bangkit dengan meledak empat gol, masing-masing menerusi Abdoulaye Diagne Faye pada minit ke-35, El Hadji Diouf (ke-80) serta dua jaringan daripada Joel Joseph Chianese pada minit ke-83 dan 90.

Pulau Pinang pula kembali meraih kemenangan setelah menundukkan UiTM FC 3-0 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.


Tiga gol skuad Harimau Kumbang dijaringkan oleh Lee Gil Hoon menerusi sepakan penalti pada minit ke-39, serta dua gol sumbangan penyerang import dari Brazil, Hilton Mauro Moreira pada minit ke-80 dan masa kecederaan babak kedua perlawanan.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, pasukan Negeri Sembilan yang dikenali sebagai NS Matrix musim ini, kalah mengejut 0-1 kepada Kuala Lumpur hasil jaringan tunggal Modibo Kunte pada minit ke-57.

Dua pasukan kelab iaitu PKNS FC dan SPA Putrajaya FC berkongsi satu mata setelah seri tanpa jaringan pada aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya.

T-Team, Liga Perdana

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain