suria

Mun Yee, Jun Hoong Raih Pingat Perak Di London

Pasangan terjun negara, Leong Mun Yee dan Cheong Jun Hoong. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pasangan terjun wanita negara, Leong Mun Yee dan Cheong Jun Hoong, meraih pingat perak pada siri keempat Kejohanan Terjun Siri Dunia FINA 2015 yang berlangsung di Pusat Akuatik London, Queen Elizabeth Olympic Park di Stratford, London, pada Jumaat.

Menurut laman web rasmi FINA, www.fina.org, pasangan Malaysia itu memenangi pingat itu selepas mengumpul 314.94 mata dalam acara 10m platform berirama wanita pada hari pertama kejohanan tersebut.

Pasangan dari China, Chen Ruolin dan Liu Huixia merangkul emas selepas mengutip 332.88 mata, manakala gandingan tuan rumah Tonia Couch dan Sarah Barrow memperoleh gangsa dengan 311.88 mata.

Gandingan Malaysia itu memperbaiki pencapaian pada siri sebelumnya di Kazan, Rusia minggu lepas, apabila menduduki tempat kelima dengan 281.28 mata.

Pada siri awal tahun ini, pasangan itu meraih pingat perak di Beijing, China (13-15 Mac) dan gangsa di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (19-21 Mac).

Pada 7 malam waktu tempatan (2 pagi waktu Malaysia), Nur Dhabitah dan Ng Yan Yee akan beraksi dalam acara 3m papan anjal berirama wanita.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain