suria

Ultras Malaya Gesa Boikot Aksi Malaysia Bertemu Spurs Dan Liverpool

KUALA LUMPUR: Sebahagian penyokong bola sepak tempatan menggelar perlawanan pasukan Malaysia dengan dua kelab Liga Inggeris,Tottenham Hotspur dan Liverpool sebagai 'perlawanan sarkas' dan menggesa agar memboikot aksi persahabatan ini.

Dua perlawanan persahabatan yang akan berlangsung pada 27 Mei dan 24 Julai ini menyebabkan jadual Liga Malaysia terpaksa diubah sekaligus timbul perasaan tidak puas hati di kalangan peminat-peminat bola sepak tempatan.

Skuad pilihan kebangsaan akan berdepan pasukan Spurs dua minggu sebelum pasukan Malaysia beraksi dalam Sukan SEA pada Jun ini, diikuti dengan kempen kelayakan Piala Dunia 2018 dan juga Piala Asia 2019.

Salah seorang ahli Ultras Malaya, Alfadli Awaludin berkata, adalah lebih baik jika pasukan Spurs dan Liverpool menentang sesama sendiri di Kuala Lumpur daripada mengganggu jadual perlawanan liga tempatan.

"Kami tidak membenci kedatangan Liverpool, Tottenham, Arsenal, mahupun Manchester United ke sini tetapi masa yang diadakan itu tidak sesuai.

"Kita sepatutnya memberi tumpuan terhadap perlawanan yang lebih penting seperti perlawanan kelayakan Piala Dunia.

"Apa yang akan dilakukan pada perlawanan kelayakan Piala Dunia sekiranya tiga pemain negara mengalami kecederaan semasa menentang Spurs?," kata Alfadli.

Menurut penyokong pasukan Selangor ini, dia dan sebilangan besar penyokong lain telah membeli tiket penerbangan untuk menyaksikan pasukan "The Red Giant' menentang Sarawak tetapi jadual perlawanan tersebut terpaksa ditunda berikutan perlawanan Malaysia menentang Liverpool.

"Apa akan jadi kepada tiket penerbangan kami? Adakah kami perlu membeli yang baharu atau terpaksa membuat bayaran tambahan untuk menukar tarikh penerbangan?," tambahnya lagi.

Perlawanan di antara Selangor dan Sarawak yang ditukar kepada pertengahan minggu menyukarkan lagi penyokong Selangor untuk hadir ke stadium.

"Kenapa mereka lebih mementingkan perlawanan sarkas itu berbanding perlawanan liga? Bagi saya itu tidak masuk akal.

"Adakah kami perlu akur dengan keputusan tersebut kerana lawan Malaysia pada perlawanan persahabatan itu merupakan pasukan dari EPL? Isu ini adalah mengenai liga negara kita jadi kami tidak mahu tunduk kepada sesiapa," kata Alfadli.

Sebelum ini Malaysia pernah menerima kunjungan pasukan Arsenal, Liverpool, dan Chelsea dan tewas dalam kesemua perlawanan tersebut pada 2011, beberapa hari sebelum pasukan negara disingkirkan daripada pusingan kelayakan Piala Dunia oleh Singapura.

Malaysia jatuh ke tangga 164 dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA), kedudukan tercorot yang pernah dicatatkan setakat ini dan Alfadli hanya mahukan yang terbaik untuk pasukan kebangsaan.

Alfadli percaya perlawanan persahabatan menentang pasukan dari Eropah beberapa tahun ini tidak mendatangkan hasil.

Hashtag #SayNoToCircusMatch telah digunakan dilaman sosial Twitter apabila Ultras Malaya memulakan kempen tersebut dan Alfadli juga menggesa penyokong bola sepak tempatan untuk memboikot perlawanan menentang Spurs dan Liverpool.

"Saya rasa orang ramai akan hadir ke perlawanan itu tetapi kami menghantar mesej ini agar perkara ini tidak akan berlaku lagi dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang," katanya lagi.

Ultras Malaya

Artikel Lain