suria

Rekod 14 Tahun Watson Nyambek Akhirnya Padam

Rekod 10.54s yang dicatat Watson Nyambek pada tahun 2001 akhirnya terpadam tahun ini.

REKOD terbaik 10.54 saat acara 100 Meter Lelaki yang disimpan selama 14 tahun akhirnya dipadamkan oleh tiga atlet pada Kejohanan Olahraga Terbuka Kedah yang berakhir Sabtu lalu.

Atlet pecut tunggal Singapura, Md Amiruddin Jamal merekodkan masa larian 10.35s untuk meraih pingat emas, Harith Ammar Sobri dari Terengganu meraih pingat perak (10.44s) manakala Badrul Hisham dari Melaka mencatat 10.48s untuk pingat gangsa.

Catatan ketiga-tiga pelumba itu ternyata lebih baik berbanding ketika aksi kelayakan ke final dengan merekodkan masa 11.9s (Amiruddin),11.27s (badrul Hisham) dan 11.50s (Harith Ammar).

Rekod terbaik 10.54s sebelum ini dicatat oleh jaguh pecut Sarawak, Watson Nyambek pada tahun 2001.

Sementara itu, atlet lompat kijang wanita, Noor Shahidatun Nadia Mohd Zaki,18, melakar sejarah tersendiri apabila berjaya mencatat lompatan 13.01 meter sekaligus mengatasi rekod lama yang dilakukan oleh atlet Selangor, Ngew Sin Mei  (12.77m) pada tahun 2003.

Nadia berkata, kali terkahir dia melakukan lompatan melebihi 13 meter pada Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dengan 13.01.

"Tetapi kali ini lebih bermakna kerana dapat melakukan kejutan di negeri sendiri.

"Keputusan ini sangat penting bagi saya menghadapi Kejohanan Remaja Asia Jun ini," jelasnya.

Selain itu dua rekod baharu turut dilakukan pada kejohanan tahun ini dalam acara 200m wanita dan lempar cakera.

Atlet Pulau Pinang, Zaidatul Hasniah Zulkifli merekodkan masa terpantas 24.02s untuk meraih pingat emas sekaligus memadamkan rekod lama (24.84m) yang dilakukan oleh pelari Sabah Petra Nabila 13 tahun lalu di Stadium Darulaman.

Selain acara 200m, Zaidatul turut memegang rekod acara 100m yang dimenangi tahun lalu dengan catatan 11.97s.

Manakala atlet lempar cakera Sabah, Yap Jeng Tzan mengatasi rekod lamanya 38.09m dengan catatan terbaharu 43.89m untuk meraih pingat emas.

Kejohanan dua hari yang bermula Jumaat lalu melibatkan lebih 500 atlet keseluruhan dari Sabah, Perak, Melaka, Kuala Lumpur, Singapura, Selangor, Perlis dan Johor.

Artikel Lain