suria

"Sukar Cari Pengganti Azlan" - Jeganathan

Kemalangan yang meragut nyawa Azlan (kanan) menyebabkan negara kehilangan atlet paralimpik cemerlang yang sukar dicari ganti hingga kini.

PENERIMA Anugerah Jurulatih Lelaki Kebangsaan, R. Jeganathan menyifatkan peluang melatih Allahyarham Azlan Mat Lazin memberi kepuasan buat dirinya selama lebih 30 tahun berkhidmat dalam bidang kejurulatihan.

Menganggap Azlan seperti anaknya sendiri, jurulatih skuad olahraga paralimpik negara itu berkata, kemalangan yang meragut nyawa olahragawan paralimpik negara itu bagaikan hilangnya sebutir berlian yang terlalu berharga.

"Saya berjumpa dengan Azlan pada 2001 apabila ayahnya meminta saya menjaga dan melatihnya di Majlis Sukan Negara (MSN).

"Pada mulanya agak sukar untuk saya berkomunikasi dengan Azlan kerana dia mempunyai kesukaran untuk bercakap tetapi saya belajar cara dia berkomunikasi untuk memudahkan kami berinteraksi sepanjang tempoh empat tahun," kata Jeganathan.

Menyifatkan Azlan sebagai atlet berbakat dan harapan negara bagi meraih emas dalam kejohanan paralimpik terutama di peringkat antarabangsa, beliau juga mengakui sukar untuk mencari pengganti Azlan.

"Azlan berbakat besar dan dia juga atlet paralimpik nombor satu di dunia. Sehingga kini sukar untuk mencari pengganti yang mampu menandingi kecemerlangannya," katanya selepas Majlis Anugerah Sukan Malaysia pada malam Selasa.

Pada majlis berprestij itu, Jaganathan menerima Anugerah Jurulatih Lelaki Kebangsaan di atas kejayaan pasukan paralimpik olahraga meraih 25 pingat, termasuk 10 emas di Sukan Para Asia Incheon 2014.

"Saya sangat gembira kerana ini merupakan kali pertama pengiktirafan diberikan kepada jurulatih paralimpik.

"Ini merupakan satu kepuasan dan pengiktirafan setelah menjadi jurulatih negara selama 33 tahun.

"Terima kasih kepada Majlis Sukan Negara dan Kementerian Belia dan Sukan untuk anugerah ini, tentu sekali ia membuatkan saya mahu bekerja keras untuk melahirkan jaguh-jaguh yang berkualiti," kata Jeganathan lagi.

Jeganathan mula berkhidmat sebagai jurulatih olahraga negara pada 1983 sehingga 2001 sebelum dilantik menjadi jurulatih paralimpik olahraga negara pada 1998 sehingga kini.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain