suria

Tinju: Pertarungan Mayweather-Pacquiao Dianggap Terbesar Abad ini

Pertarungan Pacquiao (kanan) dan Mayweather dianggap terbesar abad ini.

MANNY Pacquiao bakal berdepan dengan Floyd Mayweather dalam pertarungan kategori Welterweight yang dianggap terbesar abad ini dengan nilai 300 juta dolar (RM1.07 bilion) di Arena MGM Grand, Las Vegas pada 2 Mei, Sabtu.

Petinju kelahiran Filipina itu yang menjalani sesi latihan di Wild Card Gym milik Freddie Roach di Los Angeles berkata, dia mahu mendominasi Mayweather pada setiap pusingan dalam perlawanan itu.

"Saya tidak terfikir untuk membuat pukulan 'knock out'. Saya hanya mahu melepaskan tumbukan sebanyak yang boleh dan memastikan saya mendahului kiraan mata pada setiap pusingan," kata Pacquiao.

Jurulatih Pacquiao, Freddy Roach juga menyokong strategi petinju berusia 36 tahun itu untuk menundukkan Mayweather.

"Manny mampu melepaskan tumbukan yang sangat kuat tetapi saya mahu dia mengalahkan Mayweather dari segi kiraan mata pada setiap pusingan dan saya rasa dia mampu untuk memenangi perlawanan tersebut menerusi keputusan 12 pusingan.

"Mayweather mempunyai kaki yang pendek dan jika dilihat pada tahun lalu, dia tidak lagi mampu untuk bergerak pantas seperti dahulu jadi dia perlu menyerang dengan lebih banyak.

"Sekiranya Pacquiao mampu membuat serangan dan bergerak pantas, Mayweather pasti tidak berpeluang untuk menyerang," kata Roach.

Jurulatih Pacquiao juga percaya, Mayweather akan cuba menyerang dari awal permainan tetapi menjelaskan Pacquiao sudah bersedia untuk menghadapi setiap serangan itu.

Dalam pada itu, Roach juga telah melarang pihak media daripada menghadiri sesi latihan Pacquiao kerana tidak mahu strategi perlawanan yang dirancang itu diketahui umum.

"Kami sudah membuat rancangan tentang pelan perlawanan dan ia mengandungi elemen kejutan yang Mayweather tidak pernah lihat," kata Roach lagi.

Pemenang bagi pertarungan terbesar ini akan menerima hadiah wang tunai sebanyak 100 juta dolar (RM355.39 juta) serta tali pinggang kejuaraan berwarna hijau yang bernilai sejuta dolar (RM3.55 juta).

Pertarungan yang akan berlangsung itu akan memecah rekod hasil penajaan yang diterima sebanyak 13.2 juta dolar (RM46.93 juta) dan jenama minuman keras 'Tecate' sanggup membayar 5.6 juta dolar (RM19.91 juta) untuk menjadi penaja rasmi bagi pertarungan itu.

MANNY Pacquiao, Floyd Mayweather

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain