Mourinho Sangkal Dakwaan Chelsea Pasukan Membosankan - Sukan | mStar

Mourinho Sangkal Dakwaan Chelsea Pasukan Membosankan

PENGURUS Chelsea mempersoalkan kritikan peminat sukan bola sepak apabila melabelkan corak permainan pasukannya sebagai membosankan.

Penyokong Arsenal kedengaran bersorak 'boring, boring Chelsea' selepas perlawanan antara Chelsea dan Arsenal yang berkesudahan 0-0 di Emirates pada Ahad.

Keputusan itu meletakkan Chelsea selesa di tangga teratas Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan 10 mata dan hanya memerlukan dua kemenangan untuk bergelar juara.

Bagaimanapun, Jose Mourinho menyangkal tuduhan yang menyatakan Chelsea adalah pasukan yang membosankan.

"Jika dilihat daripada analisis yang dibuat, kami merupakan pasukan terbaik atau kedua terbaik.

"Orang ramai menilai gaya dan corak permainan tetapi tidak mengambil kira jaringan yang telah dibuat.

"Mereka anggap pasukan yang berjaya menjaringkan banyak gol sebagai pasukan yang membosankan, tetapi melabel pasukan yang mempunyai 70 peratus kawalan bola tetapi tidak mampu memenangi perlawanan sebagai pasukan yang tidak membosankan," kata Mourinho.

Pengurus kelahiran Portugal itu berpendapat orang ramai mempunyai pandangan tersendiri mengenai bola sepak.

"Semasa permainan bola sepak dicipta dahulu, objektifnya adalah untuk menghasilkan jaringan dan memenangi perlawanan tetapi kini objektifnya lebih daripada satu.

"Bagi saya, objektif bola sepak adalah untuk menjaringkan gol dan menahan asakkan pasukan lawan daripada menghasilkan jaringan.

"Apabila tiada jaringan, mereka akan kata ia membosankan dan meminta pasukan untuk menjaringkan gol," tambahnya lagi.

Bagi pengurus berusia 52 tahun itu, permainan bola sepak yang menarik adalah dengan bermain untuk mendapat keputusan baik.

"Permainan yang menarik adalah untuk beraksi pada setiap perlawanan dan tahu bagaimana corak permainan yang perlu dilakukan.

"Kami bermain dengan baik ketika menentang Arsenal, kami beraksi cemerlang dari awal permainan," kata bekas pengurus Real Madrid itu.

Sementara itu, beberapa laporan menyebut pemilik Chelsea, Roman Abramovich mahu pasukannya bermain seperti pasukan Barcelona.

Tetapi Abramovich kelihatan gembira dengan corak permainan Chelsea ketika menentang Arsenal dan meraikan keputusan tersebut bersama pemain.

"Dia memeluk pemain semasa di bilik persalinan.

"Saya rasa dia gembira dengan keputusan tersebut dan pasti penyokong Chelsea juga akan gembira jika kami berjaya memenangi kejuaraan liga," katanya.

Mourinho juga mengkritik pengurus Arsenal, Arsene Wenger kerana tidak cuba untuk memenangi perlawanan itu dan kegagalan 'The Gunners' untuk memenangi kejuaraan liga selama 11 tahun.

"Saya berjumpa seorang penyokong Arsenal yang tinggal berdekatan dengan saya dan sudah menyokong kelab itu lebih daripada 50 tahun.

"Dia mengucapkan tahniah kepada saya ke atas jawapan yang diberikan semasa sidang media dan merasakan apa yang saya jawab adalah benar," kata Mourinho.

Bekas pengurus Inter Milan itu berpendapat pihak media dan pengurus pasukan bertanggungjawab terhadap persepsi orang ramai mengenai Chelsea.

"Jika media melaporkan perkara yang benar, orang ramai juga akan mengetahui perkara yang benar.

"Sekiranya konsep suatu permainan yang cantik adalah mengikut kiraan jaringan, hanya Manchester City menjaringkan lebih banyak gol dari kami.

"Beritahu saya pasukan mana yang beraksi lebih baik dari kami dan jika tiada pasukan yang bermain lebih baik dari kami laporkanlah kepada orang ramai," kata Mourinho lagi.

Pengurus yang berjaya memenangi tiga kejuaraan Liga Juara-Juara itu juga berpendapat sebahagian besar pengurus di Liga Perdana Inggeris percaya Chelsea berhak bergelar juara liga.




Artikel Berkaitan

Klik

default image

Bandar unik, gaya hidup masa kini... Inilah keistimewaan Putrajaya

PUTRAJAYA bakal menjadi bandar seimbang yang bukan sahaja menumpukan aspek pentadbiran kerajaan, bahkan sektor swasta.

default image

Tiga tahun penuh derita, pernah diburu ah long... Dr Azizan kongsi cerita pahit sebelum tubuhkan RichWorks – “Kalau berjaya sahaja tapi tak bantu orang untuk berjaya, saya tak puas”

PAKAR Pemasaran No. 1 Asia dan Mentor Keusahawanan, Dr Azizan Osman berkongsi kisah suka dukanya sebelum berada di tahapnya sekarang, sewaktu program NUH2020.

Artikel Lain

6 pemimpin parti menghadap Agong

Anwar dijangka menghadap Agong Isnin