suria

Selepas Hampir Terkeluar Saingan Liga, Kini Bournemouth Ke EPL

Pasukan Bournemouth meraikan kejayaan bersaing di EPL selepas menundukkan Bolton Wanderers.

PASUKAN Kejuaraan Liga England, Bournemouth mengesahkan tempat ke Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan setelah menundukkan Bolton Wanderers 3-0 untuk menduduki tempat dua teratas liga tersebut.

Walaupun berada di tempat kedua dengan kelebihan tiga mata di hadapan Middlesbrough dengan berbaki satu perlawanan, perbezaan jaringan antara kedua-dua pasukan membantu Bournemouth untuk mengesahkan tempat di EPL musim hadapan.

Penyokong membanjiri padang selepas pengadil menamatkan perlawanan termasuk pengerusi kelab tersebut, Jeff Mostyn, manakala Pengurus Bournemouth, Eddie Howe mengakui teruja dengan pencapaian pasukannya.

"Ini merupakan satu perjalanan yang menakjubkan bagi pasukan kami.

"Dahulu kelab ini hampir terkeluar dari saingan liga, dan hampir muflis.

"Penyokong mengumpul dana untuk menyelamatkan kelab ini, oleh itu mereka berhak meraikan kejayaan Bournemouth," kata Howe.

Dua gol dalam tempoh lima minit terakhir pada separuh masa pertama dari Marc Pugh dan Matt Ritchie memberi harapan kepada penyokong.

Kemenangan itu disahkan apabila penjaring terbanyak Bournemouth, Callum Wilson menambah jaringan pada minit ke-78.

Kemenangan serta kejayaan pasukan itu untuk ke liga perdana menjadi tanda kebangkitan Bournemouth yang akan menyertai EPL buat kali pertama.

Pasukan yang hanya mampu memuatkan 12,000 penonton di stadium mereka akan menerima 120 juta pound (RM650 juta) kerana berjaya ke liga perdana.

"Kelab ini berada dalam keadaan terburuk enam tahun lalu dan tidak mempunyai apa-apa tetapi sekumpulan penyokong telah mengumpul sejumlah wang untuk menyelamatkan kelab ini dan pengorbanan mereka akhirnya terbalas.

"Inilah kelab yang saya sokong semasa kanak-kanak, kelab yang memberi peluang kepada saya untuk menjadi seorang pemain dan pengurus. Jadi mereka tidak patut berterima kasih kepada saya kerana saya yang sepatutnya menyampaikan ucapan itu.

"Kami tidak menjangkakan kejayaan ini, tetapi hasil kerja keras dan beberapa pelaburan, kami berjaya melakukannya," kata Howe lagi.



Liga England, Bournemouth, EPL

Artikel Lain