suria

Mick Teruskan Nama Schumacher Dalam Dunia Perlumbaan

ANAK kepada juara tujuh kali Formula Satu (F1) Michael Schumacher menunjukkan kebolehan untuk terus membawa nama keluarganya dalam dunia permotoran apabila berjaya meraih kedudukan kesembilan ketika aksi pertama sebagai pelumba ADAC Formula 4 di Jerman minggu ini.

Mick Schumacher berjaya menamatkan saingan dalam kelompok sepuluh terbaik walaupun memulakan perlumbaan di petak ke-19 bersama pasukan Dutch Van Amersfoort di Arena Motorsport Oschersleben.

Mick memulakan karier rasminya ini di Jerman selepas mempamerkan aksi cemerlang dalam perlumbaan kart dengan menamatkan saingan di tempat kedua dunia, Eropah dan Kejuaraan Kart Jerman musim lalu.

Pelumba berusia 16 tahun itu menggunakan nama akhir ibunya, Betsch ketika menceburi bidang lumba kart tetapi menukar semula kepada nama akhir bapanya.

Mick bijak memberi fokus dalam karier baharunya ini biarpun bapanya masih dalam penjagaan rapi rumah keluarganya di Switzerland selepas mengalami kemalangan ketika bermain luncur ski pada 2013.

Mick (kiri) mengikuti jejak langkah bapanya, Schumacher.


Sementara itu Mick dikaitkan Harrison Newey,16, yang merupakan anak kepada pereka Red Bull, Adrian sebagai rakan sepasukannya.

Pengurus Urusan Van Amersfoot Racing Team memberitahu: "Kami semua melihat bagaimana ia akan berlangsung. Mick ada membuat beberapa kesilapan.

"Bakat, persiapan dan kebijaksanaan ada di situ. 

"Kami sangat berbangga mempunyai nama besar yang berlumba dengan pasukan ini, namun nama sahaja tidak akan memberi sebarang mata kepada kita. 

"Jadi kami semua akan bekerja keras," jelasnya.

Selain itu, juara tiga kali F1, Niki Lauda berkata: "Sudah tentu semua orang akan menumpukan kepada dia. Terima kasih kepada bapanya dan itu satu beban besar buatnya".

Artikel Lain