suria

Sukan SEA: Upacara Menaikkan Bendera Tetap Diteruskan - SINGSOC

SINGAPURA:  Buat pertama kali dalam sejarah Sukan SEA, upacara menaikkan bendera yang pada kebiasaannya diadakan di Perkampungan Sukan, akan berlangsung di Sports Hub yang merupakan venue utama temasya sukan berkenaan di Singapura.

Ketua Penginapan Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Singapura (SINGSOC) Michelle Liong berkata upacara itu akan berlangsung selama dua hari, dengan empat negara peserta masing-masing dijangka mengambil masa 45 minit bagi acara berkenaan.

Sebagai tuan rumah Sukan SEA 2015, Singapura adalah negara pertama yang memecahkan tradisi untuk tidak mengadakan perkampungan sukan pada temasya dwitahunan itu, sebaliknya jawatankuasa penganjur memutuskan kesemua atlet dan pegawai ditempatkan di hotel-hotel sekitar bandar raya tersebut.

Pendekatan yang berbeza itu juga menyaksikan lebih 7,000 atlet dan pegawai akan diasingkan di 20 buah hotel, mengikut penyertaan mereka dalam jenis sukan masing-masing.

Michelle berkata keputusan menggunakan hotel sebagai perkampungan sukan adalah untuk memastikan kesemua atlet dan pegawai merasai pengalaman positif ketika berada di Singapura.

"Mereka (atlet dan pegawai) akan ditempatkan di persekitaran yang kondusif dan selesa supaya mereka dapat memberi tumpuan terhadap persediaan dan prestasi masing-masing pada temasya sukan itu.

"Hotel-hotel yang dipilih itu berhampiran venue pertandingan, akses mudah kepada pengangkutan awam serta berdekatan dengan tempat-tempat menarik," katanya sambil memberi jaminan bahawa atlet akan tiba di venue pertandingan mengikut jadual tanpa gangguan trafik.

Dari segi keselamatan atlet dan pegawai di hotel serta venue pertandingan,Michelle berkata SINGSOC akan bekerjasama rapat dengan Pasukan Polis Singapura bagi memastikan tahap keselamatan di setiap hotel dan venue adalah yang terbaik.

Beliau berkata SINGSOC juga mengambil berat mengenai aspek makanan dan minuman yang dihidangkan kepada atlet semasa temasya sukan selama 12 hari itu dan setiap kontinjen telah dimaklumkan supaya tidak membawa tukang masak sendiri.

Sukan Sea, Perkampungan Sukan

Artikel Berikut

Artikel Lain