suria

Trio Import Jadi Taruhan Tewaskan Selangor - Azraai Khor

Aksi Erwin Carillo (kiri).

KOTA BAHARU: Kelantan mempertaruhkan trio importnyaketika melayan kunjungan pendahulu Liga Super, Selangor di Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Sabtu malam.

Jurulatih Kelantan Mohd Azraai Khor Abdullah berkata tiga penyerang importnya iaitu Erwin Carillo, Austin Amutu dan Gilmar Da Silva diharap dapat memberi persembahan terbaik pada perlawanan tersebut.  

"Mereka dah tentu jadi taruhan pada perlawanan ini, kita mahu teruskan rentak cemerlang selepas mencatat kemenangan pertama dan saya harap kita dapat lakukan lagi.

"Kita cuba turunkan kesebelasan terbaik untuk hadapi Selangor dan kita perlu lebih berhati-hati sebolehnya kita tidak mahu kehilangan mata ketika beraksi dihadapan penyokong sendiri," katanya ketika ditemui pemberita di sini, Jumaat.

Beliau berkata pasukannya perlu berhati-hati dengan barisan serangan pasukan Selangor diketuai oleh penjaring terbanyak pemain tempatan iaitu Mohd Afiq Azmi.

"Kita sudah tentu akan memberi perhatian lebih kepada dia (Afiq) dan juga penyerang import mereka iaitu Guilherme de Paula Lucrecio, mereka berdua mempunyai kombinasi yang mantap.

"Selain itu, Leandro Dos Santos perlu diberi perhatian, dia (Leandro) merupakan playmaker yang penuh dengan muslihat," katanya. 

Mohd Azraai Khor juga mengingatkan anak didiknya untuk kembali fokus dalamsaingan Liga Super bagi membolehkan pasukan memperbaiki kedudukan dalam liga. 

"Sekarang kita nyawa-nyawa ikan, pada Sabtu ini kita kena buktikan kita mampu bangkit, piala FA kita lupakan seketika kerana kita sedang berusaha untuk keluar dari zon penyingkiran.

"The Red Warriors (TRW) tidak patut berada di kedudukan itu, Tan Sri Annuar Musa sasarkan kita berada di 'top five' dan kita masih dengan sasaran kita itu,"katanya. 

Selepas lapan perlawanan Liga Super musim ini, Kelantan hanya menjaringkan enam gol dan kini berada di tangga ke-10 dengan tujuh mata, selepas hanya mencatat dua kemenangan dan satu seri.

Azraai Khor, Liga Super

Artikel Berikut

Artikel Lain