suria

Program Pembangunan Bola Sepak Negara Dilancar Januari Ini

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR: Menteri Belia Dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengumumkan Program Pembangunan Bola Sepak Negara bakal dilancarkan pada Januari ini di Akademi Bola Sepak Negara Gambang, Pahang.

Khairy yang mempengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Bola Sepak Negara di Majlis Sukan Negara (MSN) pada Isnin berkata, ahli-ahlinya telah berbincang mengenai draf atau perancangan jangka masa panjang program ini.

"Pelan jangka masa panjang fasa pertama bermula 2014-2020 diketuai oleh Pengarah Projek, Lim Teong Kim yang telah mula bertugas melawat seluruh pelusuk tanah air bagi memastikan pusat-pusat kecemerlangan sebagai permulaan.

"Pelan ini bukan sahaja untuk pembangunan bola sepak sahaja, tetapi pembangunan jurulatih dan juga turut mengadakan satu falsafah baharu bagi bola sepak negara kita.

"Satu falsafah bola sepak negara ini termasuk corak permainan, strategi, teknik, taktik serta perwatakan yang akan kita gariskan supaya dapat diselaraskan di seluruh pusat-pusat kecemerlangan yang akan ditubuhkan di setiap daerah.

"Jadi banyak pandangan bernas dikemukan pada mesyuarat ini dan akan kita ambil kira. Selepas ini kita akan ada bengkel dan menjemput ramai lagi pihak berpengalaman seperti pemain, pengurus, jurulatih dan media dan sektor swasta dan bagi mendapatkan lebih banyak input program ini.

"Seterusnya saya akan bawa ke jemaah menteri untuk persetujuan sebab kita mahu pelan pembangunan ini ada kesinambungan seterusnya untuk kekal sebagai pelan jangka panjang dan akan dilancarkan oleh Perdana Menteri hujung Januari ini," jelasnya selepas mesyuarat.

Senarai penuh ahli Jawatankuasa Pembangunan Bola Sepak Negara:

Khairy Jamaluddin (Pengerusi), Datuk Seri Idris Jusoh, Tan Sri Annuar Musa, Datuk Othman Aziz, Datuk Jamil Salleh, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud, Datuk Seri Zolkples Embong, Datuk Dr Ramlan Abd Aziz, Datuk Hamidin Mohd Amin, Ee Chong, Izham Ismail, Saathiaseelan A/L Paul Thurai, Bakri Ibni, Ahmad Sharul Azhar Soffian, Abu Bakar Atan, Subkhiddin Mohd Salleh.

Artikel Berikut

Annuar Sanggup Berundur Demi FAM

Artikel Lain