suria

Paintball: Ganjaran RM10,000 Menanti Pasukan Terbaik Keseluruhan

LANGKAWI: Tahun ketiga Kejohanan Paintball Piala Dunia Asia Naza (NWCAP) yang berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) bermula 14-18 November menyaksikan kelainan berbanding tahun sebelum ini.

Dengan kehadiran penaja utama, Naza World buat kali pertama tahun ini mampu menjadikan kejohanan ini lebih menarik apabila ganjaran tambahan disediakan diberikan kepada yang terpilih sebagai Pasukan Terbaik Keseluruhan.

Naib Presiden Kanan kumpulan Eftra (Naza World), Zakaria Ismail yakin dengan penglibatan pihaknya dalam kejohanan bertaraf antarabangsa ini, ia mampu memberi impak yang berbeza.

"Untuk lebih kelihatan sengit, kami turut menyediakan imbuhan tambahan sebanyak RM10,000 diberi kepada pasukan terbaik keseluruhan.

"Aksi pastinya lebih menarik dengan adanya hadiah tambahan ini," jelas Zakaria kepada media, Khamis.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif AKR Event, Syed Mohd Johan Rizal berkata, sebanyak 188 pasukan daripada 40 negara termasuk Malaysia akan berentap pada Jumaat ini.

Kehadiran semula pasukan ternama seperti juara 2011 dari Iran - Datis, pasukan STK (Australia), serta pasukan tunggal wanita dalam Divisyen 1, Poison Ivy dari Norway pastinya menjadi perhatian bagi merebut ganjaran ganjaran bernilai RM 60,000 keseluruhan.

Dengan 20 pertandingan peringkat Asia, benua, tempatan dan antarabangsa sepanjang tahun ini dengan rata-rata menamatkan saingan dalam kelompok lima terbaik, peluang pasukan negara membenam pesaing utama sangat cerah.

"Tahun lalu, kita menamatkan saingan ditempat ketiga dalam Divisyen 1 dan saya yakin pasukan tempatan seperti Lost Boyz dan Nemesis Legion mampu melakar kejutan pada edisi kali ini.

" Saya juga menjangkakan saingan antara pasukan tempatan sendiri juga tidak kurang hebatnya terutama sebanyak lima pasukan akan berentap dalam saingan Divisyen 1," jelas Syed.

Sebagai rekod tahun lalu trofi kejuaraan dijulang oleh pasukan Infernal dari Thailand dengan menewaskan STK, 4-2.

Artikel Lain