suria

Pahang Belum Putus Nasib Dollah Salleh

KUANTAN: Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) masih belum memutuskan sama ada Dollah Salleh akan terus memimpin skuad Tok Gajah bagi mengharungi Liga Super musim depan selain mempertahankan kejuaraan berprestij Piala Malaysia.

Timbalan Presiden PBNP Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata, pihaknya masih belum membuat keputusan sama ada mahu mengekalkan ketua jurulatih itu pada musim depan.

"Kita perlu membuat keputusan tepat memandangkan Pahang baru sahaja menjulang Piala Malaysia dan sudah pasti kejuaraan yang diraih akan dipertahankan.

"Pada masa sama tidak semestinya jurulatih import akan mengendalikan Pahang kerana jurulatih tempatan juga boleh membantu meraih kejayaan musim depan," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Beliau juga tidak menafikan PBNP turut meneliti beberapa jurulatih lain sekiranya khidmat Dollah tidak dapat digunakan lagi.

Muhammad Safian berkata, segalanya terpulang kepada Presiden PBNP, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah bagi membuat keputusan muktamad.

Katanya, perkara itu akan diumumkan apabila PBNP mengadakan mesyuarat khas dalam masa terdekat untuk memastikan kejayaan dapat dipertahankan musim akan datang.

Dollah sebelum ini dilaporkan bakal beralih angin untuk mengendalikan pasukan lain pada musim depan selepas membimbing Pahang menamatkan kemarau 21 tahun menjulang piala itu. - BERNAMA

Artikel Lain