suria

Ketua Menteri Sedia Ambil Alih Jawatan Presiden MAFA

MELAKA: Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron berhasrat mengambil alih kepimpinan Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) bagi mengembalikan era keemasan skuad negeri semasa awal tahun 80-an.

Sebaik memegang jawatan presiden, katanya beliau akan melaksanakan pelbagai langkah bagi mengembalikan maruah bola sepak negeri yang kini terjerumus ke Liga FAM musim depan.

"Saya akan cuba memposisikan imej baharu MAFA pada satu tahap yang boleh dibanggakan kerana Melaka telah jauh ketinggalan dalam industri bola sepak negara.

"Bagaimanapun, ia bukan boleh dilakukan dalam sekelip mata. Saya memerlukan masa antara tiga dan empat tahun (bagi mencipta kejayaan)," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah insentif Sukan Malaysia (Sukma) 2013 kepada atlet Melaka, di sini, Ahad.

Jawatan presiden MAFA kini disandang oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi Melaka, Datuk Md Yunos Husin.

Idris berkata fokus juga akan diberikan kepada pasukan bola sepak bawah 15 dan 18 tahun negeri itu ekoran kejayaan mereka menjadi juara dan naib juara pada kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM), Jun lepas.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan negeri memutuskan satu dasar di mana anggota Exco hanya dibenarkan memegang satu jawatan dalam persatuan sukan negeri.

Berikutan keputusan itu, Md Yunos akan hanya memegang jawatan sebagai Presiden Persatuan Hoki Melaka dan melepaskan jawatan presiden MAFA, kata Idris.

Pada Sukma 2013, Melaka gagal mencapai sasaran 20 pingat emas dan pulang dengan empat emas, lima perak dan lapan gangsa.- BERNAMA

Datuk Idris Haron, MAFA, Liga FAM

Artikel Lain