Pemenang Liga Malaysia Terima Hadiah Kemenangan Pada Rabu - Hamidin - Sukan | mStar

Pemenang Liga Malaysia Terima Hadiah Kemenangan Pada Rabu - Hamidin

PETALING JAYA: Kesemua pemenang Liga Malaysia (Liga-M) meliputi juara Liga Super, Premier dan Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menerima hadiah kemenangan serta insentif tahunan yang akan dikreditkan ke dalam akaun pasukan masing-masing pada Rabu.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata selain hadiah kemenangan serta insentif berkenaan yang berjumlah RM5.132 juta, pasukan tuan rumah yang mendapat liputan perlawanan secara langsung daripada Astro sepanjang musim ini turut akan menerima bayaran pampasan berjumlah RM950,000.

"Bayaran kepada pegawai perlawanan kejohanan bawah umur seperti bawah 17 dan bawah 14 hampir RM200,000 turut akan dikreditkan esok termasuk subsidi untuk Liga Futsal Kebangsaan 2012 yang turut berjumlah RM700,000 dan kesemua bayaran ini melibatkan wang tunai berjumlah RM8 juta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis meraikan perpisahan bekas Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad di Wisma FAM, Kelana Jaya, pada Selasa.

Azzuddin memulakan tugas rasmi selaku Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) sejak beberapa hari lepas selepas dilantik ke jawatan berkenaan oleh Presiden AFF Sultan Ahmad Shah pada 23 Jun lalu.

Beberapa pihak termasuk penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sebelum ini mempersoalkan wang penajaan RM30 juta setahun yang diterima FAM daripada Astro untuk hak penyiaran Liga Malaysia yang sepatutnya diagihkan kepada pasukan tempatan yang menghadapi masalah kewangan.

Dalam perkembangan berasingan, Hamidin berkata badan induk bola sepak kebangsaan itu tidak akan berganjak dengan keputusan asal mereka untuk tidak membenarkan mana-mana pasukan yang layak beraksi dalam kempen Piala Malaysia meminjam pemain pasukan lain.

Katanya perkara berkenaan telah dimaklumkan kepada pengurusan pasukan bola sepak tempatan melalui beberapa seminar dan taklimat yang diadakan oleh FAM pada awal tahun ini.

"Malahan, keputusan yang sama turut dicapai oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM sejak awal tahun ini selain mengurangkan kerenah birokrasi di FAM yang mempunyai beberapa sekretariat.

"Malahan, pasukan boleh menguatkan pemain menerusi dua pintu perpindahan pemain yang dibuka pada Januari dan April lepas," kata Hamidin.

Ahad lepas, Penolong pengurus T-Team, Mohamed Sekanther Abdul Hamed dilaporkan sebagai berkata wakil kelab Terengganu itu berhasrat meminjam tiga pemain yang beraksi di posisi penyerang, pemain tengah dan penjaga gol untuk memperkuatkan skuad 'The Titans' menghadapi kempen Piala Malaysia, bulan depan.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

MMA cabar ego Zul Ariffin