suria

Jumlah Penyertaan Atlet Malaysia Ke Sukan Sea Myanmar Diputuskan Selepas Raya

KUALA LUMPUR: Jumlah penyertaan atlet Malaysia pada Sukan SEA di Myanmar pada Disember ini, dijangka diputuskan pertengahan bulan depan, kata Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi.

Beliau berkata setakat ini, badan induk kebangsaan itu masih menunggu buku peraturan pertandingan temasya itu daripada Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Myanmar.

"Kita sudah hantar borang penyertaan untuk menyertai 29 acara sukan sebelum tarikh tutup pada 30 Jun lepas dan kita sedang menanti buku peraturan pertandingan daripada penganjur.

"Mereka memaklumkan akan menghantar buku peraturan itu dalam minggu ini atau minggu depan dan selepas itu kita akan serahkan kepada persatuan sukan bagi menentukan atlet mereka.

"Kemungkinan selepas Hari Raya kita boleh tahu jumlah atlet negara yang akan mengambil bahagian di Myanmar nanti," katanya.

Ditanya mengenai jumlah atlet negara ke temasya berkenaan, Kok Chi berkata pada masa ini, beliau tidak dapat menentukan angkanya selagi belum melihat buku peraturan pertandingan tersebut.

"Saya difahamkan, misalnya daripada 10 acara dalam sukan mempertahankan diri, penganjur hanya membenarkan setiap negara menyertai enam acara. Perkara-perkara sebegini yang perlu difahami dan diambil kira oleh persatuan-persatuan sukan sebelum memutuskan jumlah atlet masing-masing," katanya.

Kok Chi berkata empat acara yang tidak disertai atlet Malaysia pada temasya yang akan berlangsung dari 11 hingga 22 Dis itu ialah gusti, perlumbaan bot tradisional serta dua sukan seni mempertahankan diri - kempo dan vovinam.

Kontinjen Malaysia akan mengambil bahagian dalam acara renang, olahraga, memanah, badminton, bola keranjang, biliard dan snuker, tinju, berkanu, berbasikal, ekuestrian, bola sepak termasuk futsal, golf, hoki dan judo.

Selain itu, karate, mendayung, sepak takraw termasuk chinlone, pelayaran, menembak, ping pong, taekwondo, bola tampar, wushu, bina badan, catur, muay, pencak silat, angkat berat dan petanque.-BERNAMA-

Artikel Lain