suria

FAM Batal Imbuhan RM1,000 Pada Final Piala FA

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)membuat pusingan 'U' apabila membatalkan pemberian ganjaran RM1,000 kepada mana-mana penyokong yang menangkap penyokong sendiri yang cuba mencetuskan kekacauan pada final Piala FA, 29 Jun ini.

Naib Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata rancangan itu tidak dilaksanakan bagi mengelak berlaku salah faham antara penyokong serta atas nasihat pihak polis.

Pada final di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, juara bertahan Kelantan akan menentang Johor darul Takzim (Johor DT).

"Satu kajian akan dilakukan sebelum rancangan itu dilaksanakan pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat dan perbincangan khas keselamatan perlawanan akhir Piala FA di sini, Jumaat.

Taklimat berkenaan disampaikan oleh Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Salleh Mat Rashid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan FAM.

Hamidin, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Perlawanan Akhir Piala FA, berkata 100 orang penyokong masing-masing daripada pasukan Kelantan dan Johor DT akan ditugaskan bagi membantu pasukan keselamatan mengawal keadaan pada perlawanan itu.

Sementara itu, Salleh berkata kawalan keselamatan di dalam dan luar stadium akan diperketatkan sebelum dan selepas perlawanan tersebut.

Beliau turut meminta penyokong kedua-dua pasukan supaya datang awal ke stadium bagi mengelak kesesakan lalu lintas di sekitar stadium berkenaan. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain