suria

Malaysia Layak Ke Pusingan Kedua Kejohanan Berpasukan Lelaki Dunia

KUALA LUMPUR: Malaysia melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Skuasy Berpasukan Lelaki Dunia selepas menjuarai saingan Kumpulan E di Mulhouse, Perancis, Selasa.

Pada perlawanan akhir kumpulan, skuad kebangsaan, yang menjadi pilihan kelima, mengekalkan rekod tanpa kalah dengan mengatasi Poland 3-0.

Sebelum ini, Malaysia membuka kempen dengan mengalahkan Botswana 2-1 pada Ahad lepas dan menumpaskan New Zealand 3-0 pada hari berikutnya.

Pada perlawanan menentang Poland, Sanjay Singh memberi mata pertama kepada skuad negara selepas menewaskan Lukasz Stachowski 11-5, 11-3 dan 11-5.

Pemain veteran negara Ong Beng Hee pula menambah mata kedua dengan mengatasi Wojtek Nowisz 11-7, 11-6 dan 11-9 sebelum Muhd Asyraf Azan menyumbang mata terakhir dengan mengetepikan Przemyslaw Atras 11-9, 11-9 dan 11-9.

Pada pusingan kedua kalah mati 16 pasukan, Malaysia akan menentang naib juara Kumpulan F, Amerika Syarikat, lewat Rabu.

Untuk rekod, pencapaian terbaik negara pada kejohanan dwitahunan itu ialah tempat kelima pada edisi 2007 di Chennai, India dan 2011 di Paderborn, Jerman. - BERNAMA

Artikel Lain