Pembinaaan Velodrom Dibincang Secara Terperinci - Zolkples - Sukan | mStar

Pembinaaan Velodrom Dibincang Secara Terperinci - Zolkples

PUTRAJAYA: Cadangan pembinaan dua velodrom tertutup bertaraf antarabangsa di negara ini perlu dibincangkan secara terperinci bagi menentukan sama ada ia sesuai atau sebaliknya, kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Seri Zolkples Embong.

Zolkples berkata beliau dimaklumkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membina sebuah velodrom tertutup kelas satu di Kuala Lumpur, manakala projek pembinaan velodrom oleh Kementerian Belia dan Sukan di Nilai, Negeri Sembilan.

"Pembinaan boleh dilakukan sesiapa sahaja. Sekarang, memang kementerian sedang berusaha meneruskan projek velodrom tertutup di Nilai. Kita sedang mengenal pasti tapak sesuai.

"Cuma saya difahamkan baru-baru ini DBKL mengeluarkan kenyataan, mereka akan bina sebuah velodrom tertutup bertaraf antarabangsa sebagai ganti kepada velodrom di Cheras," katanya ketika ditemui pemberita di Menara KBS di sini pada Selasa.

Zolkples berkata pembinaan velodrom tertutup itu memang amat diperlukan dalam tempoh terdekat kerana ia memberi kelebihan kepada Malaysia menganjur kejohanan antarabangsa, selain peluang kepada pelumba basikal negara menjalani latihan.

Dalam pada itu, beliau bersetuju dengan cadangan Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) Datuk Naim Mohamad yang mahu peruntukan RM80 juta dalam Bajet 2013, dialihkan kepada pembinaan velodrom latihan di setiap zon, selepas DBKL bersetuju membina velodrom tertutup di Cheras.

"Perkara ini harus kita bincang dan putuskan sama ada kita masih memerlukan dua velodrom bertaraf antarabangsa atau pun sebuah. Cadangan Datuk Naim yang mana peruntukan sedia ada diagihkan kepada negeri-negeri untuk membina velodrom yang asas dan mudah bagi tujuan latihan adalah baik," katanya.-BERNAMA

Artikel Berkaitan

Artikel Lain