suria

Terbuka Malaysia: Nicol Buru Kejuaraan Ke--9

KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David mempunyai peluang bagi melebarkan rekod takhta Kejohanan Terbuka Kuala Lumpur CIMB miliknya kepada kesembilan pada edisi 2013 di sini, bulan depan.

Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) hari ini berkata, selain Nicol, kesemua 16 pemain wanita terkemuka dunia telah mengesah penyertaan pada kejohanan bernilai RM310,000 dari 26 hingga 31 Mac ini.

Antara pemain utama ialah bintang muda Mesir, Raneem El Weleily yang memusnahkan impian Nicol merangkul kejuaraan kelapan pada Terbuka Malaysia tahun lepas dengan keputusan 12-10, 11-3, 11-6, 11-2 dalam masa 36 minit.

Bagaimanapun, Nicol, selaku pemain nombor satu dunia, mempunyai peluang menebus kekecewaan di tangan Raneem selain mempertahankan kejuaraan setelah menumpaskan pemain nombor satu Hong Kong, Annie Au 11-4, 12-10, 11-9, pada final tahun lepas.

SRAM dalam kenyataan berkata Malaysia turut mengharapkan kejutan daripada seorang lagi pemain wanita negara, Low Wee Wern, pemain nombor enam dunia, yang menampilkan prestasi membanggakan sepanjang tahun lepas.

Wee Wern akan membuka saingan dengan menentang pemain Denmark, Line Hansen.

Pemain nombor tiga negara Delia Arnold turut disenaraikan dalam undian utama atas tiket 'wildcard' dan akan berdepan dengan Raneem pada pusingan pertama.

Dalam kategori lelaki pula, pemain veteran Ong Beng Hee akan mengetuai cabaran Malaysia dalam undian utama dengan menentang rakan senegara Muhd Asyrad Azan yang masuk atas tiket 'wildcard'.

Pemain semakin meningkat Mohd Nafiizwan Adnan akan beraksi pada pusingan kelayakan.

Empat pemain dalam kelompok 10 terbaik dunia akan mewarnai acara lelaki dengan diketuai juara bertahan Omar Mosaad, pemain ranking kesembilan dunia dari Mesir.

Selain itu turut menyertai kejohanan tersebut ialah pilihan utama Mohamed El Shorbagy dari Mesir (ranking kelima dunia), Karim Darwish (Mesir-keenam dunia) dan pemain Sepanyol, Borja Golan, pemain ranking ke-10 dunia dan pilihan keempat kejohanan.

Pusingan kelayakan serta pusingan awal akan berlangsung di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, manakala peringkat suku akhir, separuh akhir dan akhir akan diadakan di Berjaya Times Square di sini.-BERNAMA

Artikel Lain