suria

Pusat Kawalan Doping USM Proaktif Dapatkan Semula Status Antarabangsa - Dr Jegathesan

KUALA LUMPUR: Pusat Kawalan Doping Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil langkah proaktif bagi mendapatkan semula status sebagai makmal anti-doping antarabangsa selepas akreditasinya digantung pada 2010.

Pro Canselor USM, Tan Sri Dr M.Jegathesan berkata tiga langkah yang telah dan sedang dilaksanakan pusat berkenaan ialah menstrukturkan semula tadbir urus pusat kawalan itu selaras dengan syarat yang ditetapkan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).

Selain itu, katanya, pusat itu yang mula beroperasi pada 1998 ketika Malaysia menganjurkan Sukan Komanwel, ialah menaik taraf kemudahan dan peralatan serta memantapkan pengurusan sumber manusia di pusat berkenaan.

"Kita dalam proses memenuhi syarat-syarat tersebut susulan daripada apa yang diminta oleh WADA. "Setelah semuanya selesai, kita akan kemukakan permohonan kepada WADA bagi mendapatkan semula status sebagai makmal anti-doping antarabangsa," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Pusat Kawalan Doping USM menjadi makmal anti-doping antarabangsa selama 15 tahun sebelum WADA menggantung akreditasi pusat itu pada Jun 2010 kerana ketidakpatuhan kepada Standard Antarabangsa Untuk Makmal (ISL). Bagaimanapun, rayuan USM terhadap keputusan WADA itu ditolak oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan yang berpangkalan di Lausanne, Switzerland, pada Jun 2011.

Ditanya bila pusat berkenaan akan mengemukakan permohonan kepada WADA. Dr Jegathesan, yang juga bekas Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), berkata perkara itu terserah kepada pihak pengurusan USM.

"Kini kita struktur semula pusat ini, ganti peralatan yang lama dan beri penelitian terhadap sumber manusia. Saya tidak mahu letak sasaran (tarikh) bila semua perkara ini dapat diselesaikan," katanya.

Semalam, ketika melawat pusat tersebut, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata ke arah mendapat semula status dunia itu, kementerian akan membantu pusat kawalan itu dalam beberapa perkara asas seperti menguji sekurang-kurangnya 3,000 sampel setiap tahun. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Wang Kuasai Peringkat Ketiga LTdL

Artikel Berikut

Artikel Lain