suria

Terengganu Terus Taja LTdL

HULU TERENGGANU: Kerajaan negeri akan terus menaja perlumbaan berbasikal berprestij Le Tour de Langkawi (LTdL) edisi ke-18 yang bermula 21 Februari depan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Terengganu, Rozi Mamat berkata jumlah penajaan ialah lebih dari RM1 juta seperti tahun lepas.

"Kita akan teruskan penajaan dan ia amat tepat dengan penganjuran Tahun Melawat Terengganu tahun ini yang diharap akan mempromosikan pelbagai destinasi menarik kepada pelancong dari luar negara.

"Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said akan mengumumkan jumlah penajaan yang sebenar dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Rozi berkata liputan media antarabangsa dari 70 buah negara terhadap LTdL akan turut mempromosi Terengganu ke seluruh dunia, satu bentuk promosi kepada program Tahun Melawat Terengganu 2013.

Tiga tempat yang dipilih sebagai lokasi penamat perlumbaan di Terengganu ialah Dungun, Kuala Berang dan Kuala Terengganu.

Beliau berkata jalan rosak akibat bencana banjir baru-baru ini akan dibaiki segera bagi melancarkan perlumbaan. - BERNAMA

Artikel Lain