suria

Enam Jalan Utama Di Ibu Negara Ditutup Sabtu Ini

KUALA LUMPUR: Enam jalan utama di ibu negara akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat antara pukul 2 petang hingga 9 malam pada Sabtu ini, bersempena dengan larian 'Nike We Run KL 10K 2012'.

Jalan terlibat ialah Jalan Ampang menghala ke Jalan Sultan Ismail (2pm-7pm), Lebuhraya Akleh ditutup sepenuhnya (4.30pm-8.30pm), Jalan Sultan Ismail ke Jalan Kuching - ditutup satu lorong (4pm-7pm), Jalan Kuching menghala ke Bulatan Dato' Onn - ditutup satu lorong (4pm-8pm), Bulatan Dato' Onn menghala ke Jalan Parlimen (5pm-8pm) dan Jalan Parlimen menghala ke Bulatan Dato' Onn (4pm-9pm).

Penganjur larian itu dalam satu kenyataan di sini hari ini, berkata Nike Malaysia akan bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan anggota Rela bagi memastikan keselamatan peserta.

Kenyataan itu juga menyebut larian 'Nike We Run KL 10k' tahun ini, dijangka disertai oleh 15,000 peserta.

Larian itu adalah sebahagian daripada siri larian global 'Nike We Run', melibatkan 400,000 pelari dari 34 negara dan merupakan pengalaman unik kepada peserta kerana menggabungkan aktiviti berlari dan muzik.

Larian berkenaan akan bermula pada pukul 5.30 petang di Jalan Ampang dan berakhir di Padang Merbok.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain