suria

Kerajaan Beri Insentif RM160,400 Kepada Pegawai Dan Atlet Sukma

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan memberi insentif berjumlah RM106,400 kepada atlet, pengurus pasukan dan jurulatih yang berjaya memenangi pingat emas, perak dan gangsa pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 di Pahang pada Julai lepas.

Atlet (individu) Negeri Sembilan yang memenangi pingat emas menerima insentif RM2,000 sementara pingat perak RM1,500 dan gangsa RM1,000 manakala pasukan yang memenangi emas menerima RM1,200, perak (RM800) dan gangsa (RM500).

Seramai 86 atlet dan 51 pegawai menerima insentif tersebut yang disampaikan oleh Menteri Besar Datuk, Seri Mohamad Hasan dalam satu majlis di sini, Isnin.

Sebelum ini, seramai 17 atlet masing-masing menerima RM1,000 sejurus memenangi pingat emas ketika beraksi di Kuantan.

Turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Razak Mansor, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Modal Insan, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abd Samad Ibrahim.

Negeri Sembilan memenangi 17 pingat emas, 30 perak dan 22 gangsa pada temasya sukan tersebut.

Ketika berucap pada majlis itu Mohamad meminta semua pihak termasuk Majlis Sukan Negeri (MSN) membuat bedah siasat ekoran kegagalan kontinjen Negeri Sembilan mencapai sasaran 40 pingat emas.

"Saya nak lihat pelan pembangunan sukan di negeri ini dibuat dengan terbaik bermula dari peringkat sekolah lagi. Untuk tujuan itu, saya akan beri banyak bantuan dan peruntukan setiap tahun pada MSN," katanya.

Beliau turut menyentuh isu adanya para atlet berusaha bertungkus-lumus untuk membina nama tetapi persatuan yang ada tidak langsung mengambil peduli.

"Kadang-kadang politik dalam sukan lebih hebat daripada politik parti," katanya.

Apapun, katanya, pihak terlibat perlu buat perancangan rapi untuk membina semula sukan di negeri ini agar dapat mengeluarkan atlet yang menjadi kebanggaan negeri dan negara. - BERNAMA

Artikel Lain