suria

Piala Monsoon Pacu Aktiviti Ekonomi Di Terengganu - Tun Abdullah

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata penganjuran kejohanan kapal layar Piala Monsoon, yang memasuki edisi kelapan tahun ini, memacu aktiviti ekonomi bagi perniagaan setempat di Terengganu semasa musim tengkujuh.

Beliau berkata pelbagai pembangunan dilaksanakan di Terengganu sejak kejohanan itu dimulakan pada 2005 termasuk pembinaan lebih banyak hotel.

"Piala Monsoon adalah acara sukan. Bagaimanapun terdapat aktiviti lain yang turut diadakan di Terengganu. Acara ini sangat menarik, yang berjaya menjadikan Pulau Duyung dan Terengganu bertambah menarik," katanya ketika berucap pada pelancaran 'Piala Monsoon: Penjenamaan Semula Untuk Masa Depan' di sini Jumaat.

Turut hadir pengerusi T-Best Events Sdn Bhd, Tan Sri Sabbaruddin Chik.

Kejohanan itu akan diadakan dari 3 hingga 8 Dis dengan disertai oleh 12 negara termasuk Malaysia, United Kingdom, Australia, New Zealand, Perancis dan Itali.

Diperkenalkan oleh Abdullah pada 2005, kejohanan itu bertindak sebagai pemangkin bagi pertumbuhan ekonomi Terengganu.

Meneruskan semangat selaku pelopor, Piala Monsoon adalah acara pertama dalam Siri Jelajah Match Racing Dunia Alpari untuk melaksanakan langkah penjenamaan semula global dengan memperkenalkan penaja kejuaraan, Alpari.

Sementara itu, Ketua Sekretariat Tahun Melawat Terengganu 2013 Ahmad Fathil Abdul Ghani berkata kerajaan negeri mengalu-alukan ketibaan Piala Monsoon saban tahun memandangkan acara itu memberi kesan positif kepada industri pelancongan.

"Selama ini, Terengganu atau bandar di Pantai Timur akan menjadi bandar mati pada November, Disember dan Januari disebabkan musim hujan.

"Bagaimanapun dengan kejohanan ini, pelancong dari dalam dan luar negara lebih tertarik untuk datang ke Terengganu," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain