suria

Persatuan Bola Sepak KL Tubuh Akademi

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) mengambil kelab bola sepak Mont Kiara FC sebagai rakan program pembangunan Akademi Bolasepak KLFA di Taman Melawati, Hulu Kelang yang dijangka siap sepenuhnya Januari tahun depan.

Berikutan kerjasama itu, Presiden KLFA Datuk Astaman Abdul Aziz ketika mendedahkan perkara itu berkata, kelab bola sepak swasta itu akan mempunyai pegangan saham sebanyak 70 peratus dalam akademi manakalanya bakinya dimiliki KLFA.

Beliau berkata, kelab bola sepak swasta tersebut bertanggungjawab untuk mengendalikan serta menguruskan akademi tersebut termasuk kos penyelenggaraannya.

"Hasil pendapatan akan dibahagikan sebanyak 70 peratus kepada Mont Kiara FC manakalanya 30 peratus lagi akan diberikan kepada kita (KLFA).

"Kita juga masih berusaha beberapa kemudahan di akademi tersebut termasuk bilik asrama pelajar, gimnasium dan sebagainya," katanya kepada Bernama pada Ahad.

Astaman berkata, akademi KLFA telah memulakan operasinya sejak tiga bulan lepas namun sambutannya daripada orang ramai untuk menghantar anak mereka ke akademi tersebut masih kurang memberangsangkan.

"Namun kita mendapati berlaku peningkatan dalam hasil pendapatan sejak bulan Ramadan yang lepas hasil daripada sewaan padang bola sepak dan gelanggang futsal daripada orang ramai.

"Kita yakin hasil pendapatan akan meningkat kerana bermula tahun hadapan kita akan menyusun semula program pembangunan bola sepak kita," katanya.

Beliau berkata, akademi tersebut menyasarkan untuk mengambil sejumlah 20 orang pelajar berusia 14 hingga 18 tahun untuk pengambilan pertama pada Januari tahun hadapan.

"Kita akan mengenakan yuran yang berpatutan kepada ibu bapa yang berminat untuk menghantar anak mereka menyertai akademi kita kerana kita bakal menyediakan jurulatih bola sepak yang bertauliah," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Liga Belanda

Artikel Lain