suria

Pencen Paralimpik Hanya Akan Dibincang Apabila IPC Ada Ketetapan Kategori Acara

LONDON: Keputusan pemberian insentif kepada atlet paralimpik negara kekal seperti yang telah diputuskan sebelum ini, kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong.

"Setakat ini belum ada cadangan untuk menukarkannya. Banyak laporan akhbar yang menyebut ganjaran (Shakam) yang diberikan kepada atlet elit paralimpik negara tidak sama seperti atlet elit normal dan tiada pemberian pencen.

"Untuk pemberian pencen, kerajaan belum bercadang untuk mengadakannya," kata Zolkples ketika memberi penjelasan terhadap laporan akhbar pada Jumaat.

Melalui insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam), pemenang pingat emas Olimpik akan menerima RM1 juta, manakala pingat perak dan gangsa masing-masing akan menerima RM300,000 dan RM100,000.

Mereka juga diberi pencen sepanjang hayat berjumlah RM5,000 (emas), RM3,000 (perak) dan RM2,000 (gangsa).

Sementara pemenang emas Paralimpik pula akan menerima insentif RM300,000, perak (RM200,000) dan gangsa (RM100,000) tetapi tiada ganjaran pencen.

Menurut Zolkples, peruntukan yang sedia adalah berdasarkan kepada badan induk Sukan Paralimpik iaitu Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) yang masih lagi tidak stabil dan tidak ada ketetapan mengenai kategori sukan yang dipertandingkan.

"Berbeza dengan Sukan Paralimpik di Beijing, temasya di London kita dapati banyak acara yang disatukan, khususnya dalam acara olahraga dan renang. Ada acara sukan yang menggabungkan tiga kategori kecacatan kerana kurang penyertaan.

"Jika hendak dibandingkan dengan Sukan Olimpik, Sukan Paralimpik mempertandingkan terlalu banyak acara sukan. Melalui acara olahraga sahaja, ada 170 acara, renang dengan 148 acara, ping-pong 29 acara dan berbasikal ada 50 acara.

"Jika jumlah acara sukan itu hendak diambil kira, adalah sukar untuk menyamakan Sukan Paralimpik dengan Sukan Olimpik," katanya.

Zolkples berkata semenjak MSN mengambil alih program latihan atlet paralimpik pada 2007, banyak perubahan yang telah dilakukan.

Setakat ini seramai 63 atlet elit paralimpik menjalani latihan di MSN, katanya.

"Kesemua mereka menerima kemudahan yang lebih baik dengan jurulatih sepenuh masa. Atlet juga diberikan pendedahan berlatih dan bertanding di luar negara. Mereka juga menerima elaun latihan sepenuh masa sama seperti atlet normal mengikut pencapaian masing-masing dalam temasya sukan tertentu.

"Keadaan ini amat berbeza jika hendak dibandingkan dengan tahun-tahun sebelum MSN ambil alih. Kebanyakan atlet pergi bertanding dengan duit sendiri," kata Zolkples.

Menurutnya, kos untuk menyertai mana-mana sukan bagi atlet kelainan upaya menelan belanja yang tinggi. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain