Sukan Paralimpik 2012: Malaysia Raih Pingat Pertama - Sukan | mStar

Sukan Paralimpik 2012: Malaysia Raih Pingat Pertama

Pemanah elit paralimpik negara, Hasihin Sanawi meraih perak dalam acara memanah Recurve Individu Lelaki w1/w2 (berkerusi roda) pada Sukan Paralimpik 2012.
Pemanah elit paralimpik negara, Hasihin Sanawi meraih perak dalam acara memanah Recurve Individu Lelaki w1/w2 (berkerusi roda) pada Sukan Paralimpik 2012.

LONDON: Pemanah elit paralimpik negara Hasihin Sanawi menyumbangkan pingat pertama kepada kontinjen Malaysia pada Sukan Paralimpik London apabila meraih perak di sini, Isnin.

Pada saingan akhir acara recurve individu lelaki W1/W2 di Lapang Sasar Memanah Royal Artillery Barrack dekat sini, Hasihin tumpas kepada Oscar de Pellegrin dari Itali dalam pusingan penentuan selepas kedua-dua pemanah itu terikat 5-5 selepas lima set.

Turut menyaksikan kejayaan cemerlang Hasihin itu ialah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) yang juga Ketua Kontinjen Malaysia ke Paralimpik London, Datuk Zolkples Embong; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara, Ahmad Shapawi Ismail; Penaung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Tun Jeanne Abdullah dan Presiden MPM Datuk Zainal Abu Zarin.

"Saya memang tidak fikir apa-apa...syukur kepada Allah atas kejayaan pingat perak ini. Pencapaian ini adalah yang terbaik sepanjang setahun saya melibatkan diri dalam sukan memanah.

"Saya tidak pernah bertemu dia (Oscar) sebelum ini, jadi saya hanya fokus dan cuba memberikan saingan yang terbaik," katanya.

Hasihin berkata beliau juga gembira kerana berjaya melunaskan impian bekas pemanah elit paralimpik negara, Allahyarham Mohd Salam Sidik untuk mengalahkan pemanah Iran, Ebrahim Anjbarkivaj dalam saingan separuh akhir.

"Saya ingat lagi arwah pernah kata dia hendak kalahkan pemanah Iran itu suatu hari nanti. Saya pegang kata-kata arwah itu dan bila berjumpa Ebrahim, saya berjaya kalahkan dia," kata pemanah berusia 27 tahun itu yang pertama kali beraksi di Sukan Paralimpik.

Allahyarham Mohd Salam yang meninggal tahun lepas, semasa hayatnya berada di ranking kedua dunia, tumpas kepada Ebrahim pada Sukan Para Asia di Guangzhou, China pada 2010.

Terdahulu pada saingan separuh akhir hari ini, Hasihin yang turut terikat dengan kedudukan 5-5, berjaya melepasi pusingan penentuan apabila memperoleh 10 mata berbanding Ebrahim yang hanya meraih lapan mata.

Hasihin akan meneruskan cabaran negara dalam acara berpasukan bersama Zulkifli Mat Zain dan Mohd Zafi Rahman Mat Salleh di Sukan Paralimpik London.

Sementara itu, Zolkples berkata kejayaan Hasihin itu semestinya menggembirakan kem Malaysia di temasya berkenaan kali ini.

"Ia satu kejayaan yang akan diraikan semua rakyat Malaysia. Kejayaan meraih pingat perak oleh Hasihin hari ini telah memperbaiki pencapaian empat tahun lepas dengan hanya satu pingat gangsa. "Jika dilihat kepada laluan Hasihin di sini, beliau menghadapi laluan sukar tetapi telah menunjukkan prestasi penuh yakin. Di peringkat suku akhir, Hasihin berjaya kalahkan pemenang pingat emas Beijing dan kemudian atlet nombor satu dunia dari Iran di separuh akhir," katanya.

Zolkples berkata semangat juang yang ditunjukkan Hasihin perlu diikuti oleh semua atlet paralimpik Malaysia yang lain di temasya kali ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

default image

CPA Australia platform berkualiti, pantas capai kelayakan perakaunan diiktiraf global

JIKA anda mempunyai kelayakan yang sewajarnya dalam industri perakaunan, perbankan dan kewangan, ia boleh memberikan prospek kerja dan kepelbagaian projek kepada anda.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.

Artikel Lain