suria

Sukan Paralimpik: Faridul Layak Ke Sukan Paralimpik Selepas Lapan Tahun Mencuba

LONDON: Selepas lapan tahun mencuba, segala usaha yang dilakukan Faridul Masri akhirnya membuahkan hasil apabila beliau layak ke Sukan Paralimpik London.

"Saya amat bersyukur kerana segala usaha yang dilakukan berbaloi dengan penyertaan pertama saya di Sukan Paralimpik di sini.

"Lapan tahun saya menunggu peluang seperti ini dan saya tidak akan mempersiakannya. Saya akan melakukan yang terbaik dan kalau boleh turut menjadi penyumbang pingat kepada Malaysia," katanya kepada Bernama.

Atlet berusia 31 tahun dari Sungai Besar, Selangor itu akan beraksi dalam acara merejam lembing F56 (berkerusi roda).

Faridul gagal melayakkan diri pada temasya Olimpik di Athens, Greece (2004) dan Beijing, China (2008).

Pencapaian terbaik beliau ialah meraih pingat emas pada Kejohanan Olahraga Paralimpik Terbuka Malaysia pada April tahun ini, dengan jarak rejaman sejauh 33.88 meter.

Kejohanan berkenaan mendapat pengiktirafan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan dijadikan medan untuk kelayakan ke Sukan Paralimpik London.

"Melayakkan diri ke Sukan Paralimpik secara merit adalah satu pencapaian membanggakan. Sasaran saya ialah melepasi jarak pencapaian terbaik dan meraih kemenangan podium, tidak kira warna pingat," katanya.

Beliau turut berharap agar rakyat Malaysia mendoakan kejayaan atlet paralimpik negara yang akan bersaing pada temasya kali ini. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain