suria

PSTNT Anjur Kejohanan Regu Terbuka

KUALA TERENGGANU: Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT) buat julung kali akan menganjurkan kejohanan sepak takraw antara regu terbuka bagi merebut Piala Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said awal September ini.

Presiden PSTNT Mohd Shapian Ali berkata tujuan kejohanan itu diadakan ialah untuk membantu Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) mengenal pasti bakat-bakat baru untuk persiapan pasukan negara pada masa akan datang.

"Kejohanan ini terbuka kepada semua sama ada pasukan negeri, kelab, jabatan kerajaan dan sebagainya," katanya di sini hari ini.

Mohd Shapian berkata kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan melebihi RM10,000 itu akan diadakan di Stadium Negeri mulai 7 hingga 8 September.

Beliau berkata hadiah istimewa juga disediakan kepada pasukan-pasukan yang tidak berjaya.

Mohd Shapian berkata dalam setiap regu hanya seorang pemain negeri atau kebangsaan sahaja dibenarkan bermain dengan bayaran penyertaan RM100.

Beliau berkata tarikh tutup penyertaan ialah pada 4 Sept dan pasukan yang berminat boleh mengambil borang daripada persatuan itu mulai sekarang.

Katanya untuk mendapat maklumat lanjut, mereka boleh menghubungi Che Wan Sulaiman Wan Su ditalian 013-9288595 atau Mazlan Ismail di talian 019-9843406 atau Ramli Salleh di 012-9867755.-BERNAMA

Artikel Lain