suria

Jangan Pandang Negatif Kejatuhan Ranking Chong Wei

KUALA LUMPUR: Tergelincirnya Datuk Lee Chong Wei daripada takhta pemain nombor satu dunia bukan alasan kepada semua pihak memandang negatif terhadap jaguh badminton negara itu, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata naik turun ranking merupakan sesuatu senario yang biasa dalam sukan peringkat dunia dan percaya Chong Wei mampu merampas kembali takhta itu apabila kembali pulih daripada kecederaan nanti.

"Kita tidak boleh terlalu obses atau ghairah bila turun (ranking) Chong Wei habislah kita dan sebagainya. Kita perlu memperi sokongan kepada beliau 'to come out from it stronger than before'.

"Sudah tentu perkara ini merupakan sebuah perkara yang perlu dilihat oleh kementerian dan BAM (Persatuan Badminton Malaysia)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri acara Maraton Standard Chartered KL 2012 di Dataran Merdeka di sini, Ahad.

Lebih 28,000 orang menyertai acara yang dilepaskan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kemudiannya menyampaikan hadiah kepada pemenang acara itu.

Dalam ranking terkini Persekutuan Badminton Antarabangsa dikeluarkan pada Khamis lepas, Chong Wei terpaksa menyerahkan takhta itu kepada pemain handalan China, Lin Dan, setelah kira-kira empat tahun bertakhta sebagai pemain nombor satu dunia.

Chong Wei gagal mempertahankan takhta itu kerana tidak menyertai kejohanan antarabangsa berikutan kecederaan pergelangan kaki yang dialami beliau di kejohanan Piala Thomas di Wuhan, China pada 22 Mei lepas.

Ahmad Shabery berkata tergelincirnya Chong Wei ke tangga kedua dunia itu bakal membakar semangat perseorangan pertama negara itu untuk memberi tentangan sengit kepada Lin Dan bagi merampas kembali takhtanya itu.

Ditanya adakah perkara itu menjejaskan peluang Chong Wei meraih emas pertama negara pada Sukan Olimpik London bulan depan, beliau berkata ia akan membuatkan perlawanan antara Chong Wei dan Lin Dan menjadi sengit dan ditunggu-tunggu pada temasya tersebut.

"Tiada apa boleh diramalkan sekarang...tidak tahu apa perkara akan terjadi. Orang ramai perlu beri sokongan bagi menjadikan sukan itu lebih menarik pada masa akan datang," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain