suria

Kerajaan Melaka Sumbang RM30,000 Atas Kejayaan Skuad Hoki Remaja

MELAKA: Kerajaan Melaka memberi sumbangan RM30,000 sebagai penghargaan atas kejayaan skuad hoki remaja negara melakar sejarah apabila muncul juara Kejohanan Piala Remaja Asia Ketujuh di sini Ahad lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, sumbangan itu akan disampaikan kepada Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk diagihkan kepada pemain.

"Ini sebagai penghargaan kepada mereka yang bertungkus lumus dalam menaikkan imej serta martabat hoki negara sebagai skuad yang terbaik di persada Asia," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Beliau berkata, satu majlis penghargaan akan diadakan di sini bagi meraikan pemain serta pegawai yang terlibat dengan kejayaan itu.

Malaysia muncul juara buat julung kali selepas menewaskan Pakistan 2-1 pada perlawanan akhir.

Skuad bimbingan Dhamaraj Abdullah itu berjaya memadam kekecewaan pada aksi final edisi 1992 di Ipoh, Perak, apabila tewas 0-3 kepada Pakistan. - BERNAMA

Artikel Lain