suria

Kelantan Cuti 20 Mei Sempena Piala FA

KOTA BHARU: Kelantan pada Ahad mengumumkan 20 Mei iaitu Ahad depan sebagai Cuti Peristiwa sempena perlawanan akhir bola sepak Piala FA antara Kelantan dan Sime Darby di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata pemberian cuti itu diputuskan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Dengan pengumuman awal ini, diharapkan rakyat Kelantan dapat merancang cuti itu dengan baik dan tidak tergopoh-gapah untuk pulang segera kerana yang penting ialah soal keselamatan," katanya pada sidang akhbar di sini, Ahad.

Abdul Fattah berkata, pengumuman cuti itu juga sebagai satu penghargaan buat rakyat Kelantan dan untuk membolehkan mereka hadir beramai-ramai menyaksikan perlawanan akhir itu dengan penuh semangat kesukanan.

Beliau berkata, kerajaan negeri buat masa ini tidak membuat sebarang keputusan mengenai pemberian imbuhan khas jika Kelantan menjuarai Piala FA itu.

"Kita beri cuti dahulu dan sebarang bentuk imbuhan itu akan kita tentukan kemudian. Yang penting biar Kelantan menjadi juara," katanya.

Ini kali ketiga Kelantan layak ke perlawanan akhir Piala FA. Pasukan itu tewas di tangan Selangor melalui penentuan sepakan penalti pada 2009 dan kalah 1-2 kepada Terengganu tahun lepas.

Abdul Fattah juga meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia menurunkan harga tiket perlawanan akhir itu daripada RM40 kepada RM30.

Satu skrin besar juga akan disediakan di Padang Perdana, di sini untuk membolehkan penyokong Kelantan menyaksikan perlawanan akhir itu. - BERNAMA

Artikel Lain