suria

Kedah Rombak Barisan Pertahanan

ALOR SETAR: Kedah akan melakukan rombakan terhadap barisan pertahanannya bagi memastikan pasukan itu tidak melepaskan gol mudah seperti yang berlaku dalam beberapa perlawanan Liga Super dan Piala FA.

Jurulatih Kedah, Wan Jamak Wan Hassan berkata beliau melakukan post-mortem di bahagian pertahanan bagi membolehkan barisan pertahanan menyekat barisan serangan lawan daripada menjaringkan gol.

"Pemain yang diberikan amanah dan tanggungjawab untuk menjaga bahagian pertahanan seringkali melakukan beberapa kesilapan mudah sehingga menyebabkan pasukan terpaksa akur dengan kekalahan. "Kita telah nasihatkan kepada semua pemain agar melupakan kekalahan kepada Kelantan tempoh hari dan berharap pemain dapat menumpukan bagi mengutip mata penuh di laman sendiri.

"Saya harap pemain akan dapat memburu mata penuh menentang kelab dari Terengganu T-Team malam esok, bagi memperbaiki kedudukan dalam Liga Super," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Banyak pihak menyalahkan kelekaan barisan pertahanan sebagai punca pasukan Kedah gagal layak ke perlawanan akhir Piala FA setelah tunduk kepada Kelantan pada peringkat separuh akhir.

Kelantan ke perlawanan akhir Piala FA menerusi kelebihan gol di tempat lawan selepas seri 2-2 pada perlawanan timbal-balik separuh akhir di Stadium Darul Aman di sini pada 1 Mei lepas denga perlawanan pertama di Kota Baharu terikat 1-1.

Pada perlawanan di Stadium Darul Aman, Kedah telah mendahului 2-0 pada separuh masa pertama sebelum Kelantan bangkit mendapatkan dua gol pada separuh masa kedua untuk kedudukan terikat 3-3 secara agregat. Dalam saingan Liga Super, Kedah kini menduduki tangga ke-12 dengan mengumpul 16 mata dan akan berhadapan dengan pasukan T-Team di tangga keenam dengan 20 mata malam esok.

Sementara itu Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Kedah, Nor Asmadi Hamzah berkata kekalahan Kedah pada Piala FA baru-baru ini perlu dijadikan pengajaran untuk bangkit dengan semangat baru bagi mengharungi saingan liga musim ini.

"Cabaran dalam liga ketika ini amat sengit dan pemain pasukan Kedah perlu memperhebatkan permainan mereka. Kelemahan di beberapa posisi termasuk pertahanan perlu dibaiki," katanya.

Katanya pemain Kedah tidak perlu lemah semangat dan rendah diri kerana ribuan penyokong yang membanjiri Stadium Darul Aman malam esok akan menyokong serta memberi semangat kepada mereka untuk terus maju. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain