suria

Koo Dan Tan Dinasihatkan Jangan Terlalu Selesa

KUALA LUMPUR: Beregu utama negara Koo Kien Keat/Tan Boon Heong tidak boleh merasa selesa dengan status ranking nombor enam dunia yang diduduki kini sebaliknya perlu terus meningkatkan prestasi.

Nasihat itu diberikan ketua jurulatih beregu lelaki Tan Kim Her yang mahu Koo dan Tan berhati-hati dengan peningkatan prestasi lawan untuk berada di ranking terbaik dunia.

"Saya nasihatkan supaya jangan ketepikan saingan di bawah mereka kerana pihak lawan sedang mengejar untuk mendapat tempat yang terbaik dalam ranking dunia.

"Pada kejohanan kelayakan Piala Thomas di Macau, Koo/Tan beraksi cemerlang dan perlu sentiasa tingkatkan permainan mereka. Apa yang penting sekarang adalah tumpuan sepenuhnya ke Sukan Olimpik di London pada Julai ini," katanya.

Mengenai persiapan pasangan itu menjelang Kejohanan Badminton All England dari 6 hingga 11 Mac ini, Tan berkata beliau berpuas hati dengan tahap stamina beregu negara yang terlibat nanti.

"Koo/Tan akan berlawan dengan beregu dari Jepun. Kita tahu Jepun juga mempunyai beregu yang hebat, permainan pasti sengit dan saya telah minta Institut Sukan Negara memberikan video rakaman permainan beregu (Jepun) itu untuk dikaji cara permainan mereka," katanya.

Koo dan Tan akan menentang beregu nombor 11 dunia Naoki Kawame/Shoji Sato pada pusingan pertama.

Cabaran sebenar bagi Koo dan Tan menanti di pusingan suku akhir bila mereka dijangka berdepan pilihan kedua Jung Jae Sung dan Lee Yong Dae dari Korea Selatan.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain