Kelayakan Olimpik: Malaysia Lawan Syria Di Jordan 14 Mac - Sukan | mStar

Kelayakan Olimpik: Malaysia Lawan Syria Di Jordan 14 Mac

KUALA LUMPUR: Dua puluh empat pemain, 17 daripadanya anggota skuad Harimau Muda A, dipanggil untuk menjalani latihan pusat bagi menghadapi perlawanan Kelayakan Pusingan Ketiga Olimpik menentang Syria pada 14 Mac ini.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan hari ini, berkata kesemua pemain tersebut akan melapor diri kepada ketua jurulatih pasukan Olimpik, Ong Kim Swee di Wisma FAM di Kelana Jaya dan memulakan latihan darin Rabu hingga Ahad depan.

Perlawanan menentang Syria yang akan berlangsung di venue berkecuali iaitu King Abdullah International Stadium di Amman, Jordan, hanyalah sebagai pelengkap jadual bagi Malaysia selepas tewas dalam kesemua perlawanan kelayakan Olimpik sebelum ini.

Malaysia yang diundi bersama Jepun, Syria dan Bahrain dalam Kumpulan C bagi Kelayakan Zon Asia ke Olimpik London, kini berada di tangga tercorot tanpa sebarang mata.

Skuad Olimpik negara memulakan kempen dengan tunduk 0-2 kepada Jepun pada perlawanan di Stadium Tosu (Jepun) dan kalah dengan bilangan jaringan sama kepada Syria di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Pada perlawanan menentang Bahrain di Bukit Jalil, Malaysia dijinakkan 2-3 dan tewas 1-2 kepada lawan yang sama pada perlawanan di Manama, Bahrain.

Jepun yang bertandang ke Bukit Jalil kemudian menewaskan Malaysia 4-0.

Skuad Samurai Biru itu kini menjadi pendahulu Kumpulan C dengan mengutip 12 mata menerusi empat kemenangan daripada lima perlawanan sementara Syria di tangga kedua dan Bahrain di tempat ketiga berkongsi sembilan mata, namun dipisahkan melalui kelebihan jumlah jaringan Syria.

Hanya juara kumpulan akan mara ke pusingan seterusnya.

Senarai pelatih skuad Olimpik:

Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan), Mohd Zubir Mohd Azmi (Terengganu), Ahmad Shakir Ali (Negeri Sembilan), Rozaimi Abd Rahman (Sabah), Ashri Chu Chu (Sarawak), Ahmad Fakri Saarani (Felda United), Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (Selangor PKNS), Gary Stevan Robbat, Shahrul Mohd Saad, Mohd Affize Faisal, Mohd Farhan Abu Bakar, Mohamad Amer Saidin, Mohd Fandi Othman, Mohd Irfan Fazail, Mohd Izham Tarmizi Roslan, Syahrul Azwari Ibrahim, Nazirul Naim Che Hashim, Muhammad Nazmi Faiz Mansor, Muhammad Izuan Mohd Salahuddin, A. Thamil Arasu, Mohamad Fadhli Mohd Shas, Mohd Ferris Danial Mat Nasir, Mohd Azzizan Nordin, D.Saarvindran (Harimau Muda A).-BERNAMA

Artikel Sebelum

Jadual Liga Perdana Inggeris

Artikel Berikut

Keputusan Liga Super & Liga Perdana

Artikel Berkaitan

Artikel Lain