suria

Piala Thomas: Malaysia Gagal Raih Tempat Ketiga, Kalah 2-3 Kepada Indonesia

KUALA LUMPUR: Malaysia menamatkan saingan pusingan kelayakan Piala Thomas Zon Asia di tempat keempat selepas kalah 2-3 kepada Indonesia pada perlawanan pusingan penentuan di Macau, Sabtu.

Bagaimanapun, di sebalik kekalahan itu, Malaysia telah layak ke pusingan akhir Piala Thomas di Wuhan, China dari 20 hingga 27 Mei ini selepas menumpaskan India 3-0 pada peringkat suku akhir, Khamis lepas.

Sekali lagi dengan ketiadaan pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, skuad negara terpaksa akur dengan kedudukan tersebut.

Malaysia mendahului pihak lawan dengan mata pertama dari Liew Daren selepas menang mudah atas penarikan diri pemain perseorangan utama Indonesia, Simon Santoso selepas mendahului 7-2 pada set pertama.

Skuad negara meraih mata kedua menerusi gandingan Goh V Shem/Hoon Thien How apabila menundukkan Alvent Yulianto Chandra/Hendra Aprida Gunawan 21-14, 21-18 dalam masa 26 minit.

Bagaimanapun Indonesia bangkit mendapat mata pertama dari pemain perseorangan kedua, Tommy Sugiarto apabila mengalahkan Mohammad Arif Abdul Latif 21-15, 21-7.

Indonesia menyamakan kedudukan menerusi beregu nombor 10 dunia Markis Kido/Hendra Setiawan yang mengatasi beregu negara Lim Khim Wah/Teo Kok Siang dengan 21-16, 21-13.

Percubaan Koo Kien Keat sebagai pemain perseorangan ketiga negara tidak berhasil setelah tunduk kepada Dionysius Hayom Rumbaka 8-21, 9-21.

Juara bertahan China dijadualkan bertemu pasukan Jepun bagi penentuan juara dan naib juara pada perlawanan akhir pusingan kelayakan esok. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain