suria

Skuad Thomas-Uber Berlepas Ke Macau

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berharap skuad Thomas dan Uber negara dapat melepasi pusingan kelayakan Piala Thomas, yang akan berlangsung di Macau dari 14 hingga 19 Februari ini.

Skuad Thomas dan Uber negara yang diketuai pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei berlepas ke Macau tengah pada Sabtu.

"Saya percaya kepimpinan Chong Wei mampu memberi inspirasi dan motivasi kepada skuad negara (badminton) di Macau nanti," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina kementerian di Stadium Putra Bukit Jalil hari ini.

Selain Chong Wei, skuad negara dibarisi Muhammad Hafiz Hashim dan Liew Darren, Mohd Arif Abdul Latif manakala beregu negara dibarisi oleh Koo Kien Keat/Tan Boon Heong; Lim Khim Wah/Goh V Shem dan Hoon Thien How/Toe Kok Siang.

Skuad Piala Uber dibarisi pemain perseorangan Tee Ji Ying, adik-beradik Lydia dan Sonia Cheah serta Sannnatasah Saniru manakala beregu diwakili Chin Ee Hui, Wong Pei Tty, Woon Khe Wei, Vivian Hoo, Goh Liu Ying dan Lim Yin Loo.

Sementara itu, Muhammad Hafiz yang juga bekas juara All England, berjanji akan memberikan persembahan terbaik dalam kejohanan berprestij itu nanti.

"InsyaAllah, saya akan cuba yang terbaik untuk mendapat mata kepada skuad Thomas, sebagai perseorangan kedua merupakan kedudukan amat penting untuk kutip mata," katanya.

Pengurus Pasukan Datuk Syed Abu Bakar Abdullah berharap Muhammad Hafiz akan menjadi penentu kemenangan untuk skuad negara bagi mencapai sasaran melepasi kelayakan Piala Thomas kali ini.

"Kalau Muhammad Hafiz dapat bermain di Macau sebagaimana dia menewaskan Chong Wei pada ujian simulasi baru-baru ini, saya rasa tidak mustahil dia (Hafiz) dapat mengalahkan saingan daripada perseorangan kedua Hong Kong dan Korea Selatan.

Malaysia akan memulakan kempen menentang Hong Kong pada 14 Feb dan bertemu Korea Selatan pada hari berikutnya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain