suria

Kategori Baru Bawah 15 Tahun Diperkenalkan Pada Kejohanan Cabaran TSM 2011

KUALA LUMPUR: Kategori baru bawah 15 tahun diperkenalkan pada Kejohanan Cabaran Golf Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSM) 2011 di Kelab Golf Glenmarie, Shah Alam, pada Sabtu dan Ahad ini.

Seramai 80 pemain remaja utama negara akan bersaing pada kejohanan dua hari itu termasuk 20 pemain muda dalam kategori baru itu manakala 35 pemain lelaki dan 25 pemain wanita dalam kategori bawah 21 tahun.

Sempena dengan kejohanan tahunan itu, pihak penganjur telah mengatur klinik latihan untuk 50 pemain remaja dari Lembah Klang pada pusingan akhir kejohanan itu.

Menurut kenyataan TSM hari ini, bekas juara kejohanan itu -- Lim Eng Seng (2006), Akmal Tarmizee (2007), Iszaimi Ismail (2008) dan juara tiga kali kategori wanita Ainil Johani (2007, 2008 dan 2009) akan mengendalikan klinik latihan tersebut.

Edisi keenam kejohanan TSM akan dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga pengasas dan penaung Yayasan TSM, Jumaat ini.

Kejohanan TSM menawarkan jumlah hadiah bernilai RM150,000 dalam bentuk biasiswa seperti perbelanjaan latihan untuk meningkatkan kemahiran ke arah mengikuti program jelajah profesional.

Program latihan itu membolehkan pemenang kejohanan itu mengikuti latihan di akademi latihan elit di Brisbane, Australia dan Institut Golf Antarabangsa PGA Australia di Gold Coast, Australia.

TSM turut menyatakan pemenang juga berpeluang menyertai Jelajah Pembangunan Asia (ADT) tahun depan.

Sempena dengan kejohanan tahun ini, pihak penganjur juga memperuntukkan RM100,000 untuk tujuan amal di mana penerima yang terpilih dari kalangan individu dan badan kebajikan akan menerima sumbangan pada hari terakhir kejohanan itu.-BERNAMA

Artikel Lain