suria

Harimau Muda Masih Ada Peluang Bangkit Semula

KUALA LUMPUR: Malaysia berpeluang untuk bangkit semula pada perlawanan menentang Bahrain Ahad ini meskipun tewas kepada Syria pada perlawanan peringkat kelayakan Olimpik 2012 di sini Rabu, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau meminta peminat bola sepak negara agar tidak segera membuat kesimpulan negatif mengenai kekalahan skuad Harimau Muda itu.

Malaysia mempamerkan permainan yang baik semalam cuma hilang fokus pada babak kedua akibat keletihan apabila hanya mempunyai masa kurang dari 48 jam untuk berehat sebelum bertemu Syria, katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Pada perlawanan kedua pusingan ketiga Kumpulan C Kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam, Malaysia tumpas 0-2 kepada skuad yang terkenal dengan nama jolokan Helang Merah itu.

Ahmad Shabery berkata orang ramai tidak boleh meletakkan sandaran tinggi kepada skuad bimbingan Ong Kim Swee itu kerana mereka masih baru memasuki tahap yang lebih tinggi apabila bergelar 'Raja Bola Asia Tenggara' setelah memenangi pingat emas di Sukan SEA Indonesia 2011 baru-baru ini.

"Kejayaan skuad Harimau Muda meletakan diri dalam kumpulan 12 pasukan terbaik Asia sudah dikira sebagai satu pencapaian besar dan ini adalah satu pengalaman baru buat kebanyakan pemain," katanya.

Beliau berkata kebanyakan pemain dalam skuad bawah 23 tahun itu terdiri daripada pemain yang berumur antara 18 dan 19 tahun dan mempunyai peluang cerah untuk menjadi pemain terkenal satu hari nanti. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain