suria

Sukan Sea: Skuad Karate Negara Sumbang Empat Emas

JAKARTA: Skuad karate berjaya menghadiahkan empat kilauan emas untuk kontinjen Malaysia pada hari kedua acara itu pada temasya Sukan SEA ke-26 di sini, Ahad.

Dalam saingan di Stadium Tertutup Tenis di sini, Malaysia merangkul emas menerusi R. Loganeshaa Rao dalam acara kumite bawah 55kg lelaki, G. Yamini (acara kumite bawah 61kg wanita) dan K. Teagarajan dalam kategori kumite bawah 84kg.

Pada sesi pagi tadi, Shaharudin Jamaludin menyumbang pingat emas pertama negara dari sukan itu menerusi acara kumite bawah 75 kg lelaki.

Loganeshaa, 23, dari Klang, Selangor, yang beraksi kali kedua pada temasya dwitahunan itu, mengalahkan peserta Vietnam, Quang Phuc, 3-0 pada pertarungan akhir.

Loganeshaa, pemenang emas Kejuaraan Remaja Asia 2008 dan pemenang pingat gangsa Kejohanan Asia 2010, begitu bersemangat untuk menundukkan lawannya dengan kehadiran mentornya R. Puvaneswaran.

"Saya ingin mencontohi pencapaian gemilang Puvaneswaran dalam sukan karate...kebetulan saya juga bersaing dalam kategori sama seperti mentor saya," katanya.

Puvaneswaran, yang kini menjadi pembantu jurulatih skuad kebangsaan, mengumumkan persaraannya selepas menggondol emas dalam acara kumite bawah 55kg pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China.

Dalam pada itu, Yamini berjaya mempertahankan pingat emas dalam tiga edisi sukan itu selepas mengalahkan peserta Vietnam Yen Phuong 1-0 pada pertarungan akhir.

Sebelum ini, pada edisi 2007 di Korat, Thailand dan 2009 Laos, Yamini merangkul emas dalam acara yang sama.

Sementara itu, Teagarajan memperolehi dua mata berharga pada peringkat kalah mati selama seminit apabila terikat 3-3 pada petarungan selama tiga minit menentang peserta Vietnam, Nhu My.

Jurulatih negara, P. Arivalagan berkata skuadnya telah mencapai sasaran empat pingat emas yang ditetapkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

"Secara peribadi, saya mensasarkan lima emas dan harap emas terakhir akan diperolehi esok (Isnin)," katanya.

Selain kilauan emas, skuad itu juga meraih tiga gangsa menerusi L. Kunasilan (kumite bawah 67kg lelaki), A.Nisha (kumite bawah 55kg wanita) dan Syakilla Salni Jefry Krisnan dalam acara kumite bawah 60kg wanita.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain