suria

Palembang Hadapi Musim Kemarau Sebelum Sukan Sea

KUALA LUMPUR: Hampir dua bulan sebelum bermulanya Sukan SEA ke-26 di Indonesia pada November ini, salah satu venue temasya tersebut, Palembang, kini menghadapi masalah kemarau serta jerebu.

Menurut akhbar internet Republika, masalah tersebut menyebabkan kerja-kerja pengindahan di Kompleks Sukan Jakabaring, venue bagi acara pembukaan dan penutupan temasya tersebut, terjejas.

Seorang pegawai pihak berkuasa Sumatera Selatan, Rusli Nawi dipetik sebagai berkata beratus-ratus pokok yang ditanam di sekitar kompleks tersebut sejak Ogos lepas mati akibat kemarau.

"Setiap hari, sebanyak 15 tangki air atau 75,000 liter air digunakan untuk kerja-kerja penyiraman. Kami berharap pokok yang mati akan segera digantikan," katanya.

Agensi berita Antara melaporkan sebanyak 204 titik panas dikesan di Wilayah Sumatera terutama di Jambi, Bengkulu dan Lampung menyebabkan kawasan tersebut diseliputi jerebu.

Jabatan Meteorologi di Sumatera Selatan bagaimanapun meramalkan musim kemarau tersebut akan berakhir pada pertengahan bulan ini.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain