suria

Norsharul Terpaksa Jadi Penonton Aksi Bertemu Myanmar

PETALING JAYA: PENYERANG berbisa kebangsaan, Norsharul Idlan Talaha (gambar)terpaksa akur menjadi penonton pada perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Myanmar di Stadium Sultan Mohamad ke-IV, Kota Baharu, Sabtu.

Norsharul yang mengalamai kecederaan hamstring ketika membantu pasukannya, Kelantan pada saingan Liga Super menentang Perak Selasa lalu belum mengesahkan tahap kecederaannya.

“Saya belum pasti tahap kecederaan ini kerana baru dua hari mengalaminaya. Mungkin dalam tempoh seminggu hingga dua minggu saya boleh tahu keputusannya.

“Saya agak kecewa juga kerana tidak dapat beraksi pada perlawanan persahabatan dengan Myanmar, lebih-lebih lagi ia berlaku di gelanggang sendiri, yang mempunyai sokongan kuat penyokong-penyokong Kelantan.

"Pun begitu, saya harapkan pasukan negara akan beraksi dengan baik,” katanya kepada mStar Online.

Sementara itu, perlawanan ini juga dijadikan landasan untuk persiapan menjelang perlawanan persahabatan dengan Liverpool, Chelsea dan Arsenal Julai ini. Lebih penting ia juga persediaan bagi saingan kelayakan Piala Dunia 2014 bertemu Taiwan 29 Jun ini.

“Saya harap kecederaan ini tidak terlalu serius dan dapat kembali menjalani latihan bersama pasukan menghadapi beberapa perlawanan besar tidak lama lagi,” katanya.

Selain itu, jurulatih kebangsaan, Datuk K.Rajagobal terpaksa meletakkan seorang sahaja penyerang pada aksi Sabtu ini.

“Memandangkan Norsharul mengalami kecederaan, saya hanya akan meletakkan seorang sahaja penyerang dengan menurunkan Abdul Hadi Yahya pada perlawanan itu dan seterusnya melihat kemampuan penyerang baru yang bakal digandingkan.

“Selain itu beberapa lagi pemain turut mengalami kecederaan termasuk S.Chanturu (Kelantan), Ahmad Fakri Saarani (Negeri Sembilan) dan Shahrizal Mohd Saad (Johor FC), namun tidak sebegitu serius.

“Saya akan cuba dulu dengan percaturan ini dan sekiranya ia tidak menjadi, saya akan menggunakan penyerang lain,” katanya selepas majlis pelancaran tiket yang memaparkan wajah pemain kebangsaan di Wisma FAM, Khamis.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain